Home Semasa Polis giat buru 130 tahanan etnik Rohingya masih bebas – Polis

Polis giat buru 130 tahanan etnik Rohingya masih bebas – Polis

by Nurulhuda

ALOR SETAR, 21 Apr – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan semula seramai 398 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap semalam, dengan 130 tahanan masih bebas diburu pihak berkuasa.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, usaha mengesan 130 tahanan terbabit diteruskan hari ini, dengan tambahan bantuan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Unit Anjing Pengesan (K-9).

Beliau berkata, sekatan jalan raya (SJR) dan operasi mengesan tahanan turut diperluas membabitkan pegawai dan anggota polis Kedah, Pulau Pinang dan Perak serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Semalam, jumlah yang dikesan membabitkan seramai 171 tahanan, seramai 21 berjaya ditahan dan hari ini, cuma tinggal 130 yang masih bebas,

“Tahanan yang bebas dikenal pasti membabitkan 99 lelaki dewasa, 21 wanita dewasa, lima kanak-kanak perempuan dan lima kanak-kanak lelaki,

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan tahanan Rohingya yang ditemukan semula adalah seramai 398 membabitkan 192 lelaki, 75 wanita, 63 kanak-kanak lelaki dan 60 kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Wan Hassan berkata, pihaknya turut meneruskan Op Tutup membabitkan SJR di 4 lokasi di Seberang Perai Selatan, 4 SJR di Bandar Baharu dan 5 SJR di Kulim.

“Selain itu, pasukan khas yang ditubuhkan polis Kedah yang dianggotai 13 pegawai dan anggota juga sedang melakukan siasatan untuk mengetahui punca sebenar kejadian,” tambahnya.

Semalam, seramai 528 warga asing terdiri daripada etnik Rohingya yang juga tahanan di Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap melarikan diri pada 4.30 pagi.

Daripada jumlah tersebut, 6 tahanan termasuk 2 kanak-kanak maut selepas dirempuh kenderaan ketika cuba melintas di Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan, berhampiran Jawi.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply