LIPIS, 18 Mac – Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya melaksanakan satu penerbangan ihsan bagi membantu 2 pendaki dari Kem Kor, Gunung Tahan, pada Khamis.
PDRM menerusi laman media sosialnya berkata, operasi yang diketuai oleh Juruterbang, Superintenden Polis Mohd Fairuz Jamil menggunakan helikopter jenis Agusta Westland AW 139 setelah menerima laporan salah seorang mangsa dilaporkan lemah kerana cirit-birit.
“Sejurus tiba di lokasi, mangsa bersama seorang rakannya segera dibawa menaiki helikopter,
“Walau bagaimanapun, mangsa tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan daripada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Jelasnya, operasi tersebut turut dibantu oleh Pembantu Juruterbang, Asistan Superintenden Polis Vithayaran Nair Muttapan, Hoist Operator, Sub Inspektor Mohd Yani Abd Malek dan Rescuer, Sarjan Mejar Muhamad Syahir Muhamad Nazir.
“Turut sama dalam penerbangan tersebut ialah Ketua Polis Balai Merapoh, Inspektor Kamarul Azizee Kamarazi,
“2 petugas KKM dan seorang pemandu pelancong, jelasnya.
Tambah hantaran itu, helikopter berjaya mendarat di Padang Majlis Daerah Lipis bagi menurunkan jenazah dan penumpang lain yang terlibat. – airtimes.my