Home Semasa Mahkamah keluarkan waran tangkap terhadap Liyana Razali

Mahkamah keluarkan waran tangkap terhadap Liyana Razali

by Air Times News Network

IPOH, 18 Mac – Polis Perak menjejaki seorang wanita, Liyana Razali kerana gagal hadir perbicaraan atas kesalahan penyebaran berita palsu berkaitan kematian 2 pelajar disebabkan suntikan vaksinasi COVID-19.

Ketua Polis Perak, Komisioner Polis Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan berkaitan kenyataan yang dikeluarkan oleh penama tersebut, pada 29 Januari lalu.

“Setelah siasatan lengkap dijalankan, didapati kenyataan yang dikeluarkan adalah tidak benar dan kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Putrajaya,

“Arahan telah dikeluarkan supaya penama dituduh di bawah Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam atau mana-mana golongan awam,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mior Faridalathrash menjelaskan, penama telah gagal hadir ke mahkamah pada 21 Januari dan tarikh baru dikeluarkan pada 10 Februari lalu sepertimana notis pemberitahuan yang diserahkan kepadanya.

“Satu waran tangkap telah dikeluarkan oleh pihak mahkamah,” tambahnya.

Jelasnya, pelbagai usaha telah dibuat bagi mengesan penama tersebut untuk hadir ke mahkamah. Justeru pihaknya mengalu-alukan orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai penama tersebut bagi tindakan selanjutnya.

Terdahulu, tular klip video berdurasi satu minit 38 saat yang memaparkan seorang wanita sedang memberi ucapan kepada sekumpulan individu sebagai tanda solidariti untuk menuntut hak pelajar sekolah tidak diwajibkan mengambil vaksin COVID-19.

Dalam ucapannya, wanita itu mendakwa berlaku 2 kes kematian pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai, Ipoh, selain beberapa orang lagi pelajar di Lahad Datu, Sabah yang kononnya mengalami alahan serius selepas divaksin. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply