KUALA LUMPUR, 14 Feb – Semua jentera Barisan Nasional digesa terus fokus dalam melakukan gerak kerja untuk memastikan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memberikan kemenangan selesa pada BN.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, BN tidak sesekali tergugat dengan tindakan pembangkang yang sudah mengumumkan senarai calon-calon yang akan bertanding pada PRN tersebut.
“Kita sudah menjangkakan serangan demi serangan daripada pihak lawan terhadap kita,
“Namun, pada hemat saya, mereka yang menyerang ini merasakan bahawa menerusi beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) dan PRN yang telah lalu, mereka tidak menjangkakan bahawa keputusan itu tidak begitu berpihak kepada mereka,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian selepas Majlis Taklimat dan Penyerahan Negeri Angkat Jentera BN Pusat Operasi Zon Selatan di Bandar Dato’ Onn Johor Bahru, pada Ahad.
Video tersebut turut dimuat naik ke akaun TikToknya.
Ahmad Zahid berkata, dengan cara mengumumkan lebih awal nama calon, pembangkang dapat menebus kekurangan dan dokongan di Johor.
“Namun saya yakin, pengundi dan rakyat Johor semakin bijak berdasarkan pengalaman apabila berada di dalam kerajaan-kerajaan terdahulu,” tambahnya.
Terdahulu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengumumkan calon-calon mereka yang akan bertanding atas tiket PKR bagi kawasan Johor selatan.
Sekurang-kurangnya PKR dijangka akan mengumukan kesemua 17 calonnya yang akan bertanding pada PRN Johor secara berperingkat.
Pada 22 Jan lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN untuk memberi laluan kepada PRN Johor.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor. Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Feb manakala pengundian awal pada 8 Mac.
Kerajaan Negeri Johor sebelum ini diterajui BN dengan 28 kerusi merangkumi UMNO (14 kerusi) dan MIC (2) serta disokong Bersatu (11) dan PAS (1) manakala PH dengan 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (7) dan AMANAH (7).-airtimes.my