Home SemasaGlobal Ukraine: Australia arah warganya pulang serta-merta

Ukraine: Australia arah warganya pulang serta-merta

by M.Daim

KYIV, 25 Jan – Kerajaan Australia telah mengeluarkan arahan untuk menggesa warganya untuk keluar dari Ukraine dengan segera.

Arahan dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Luar Negara dan Dagangan (Department of Foreign Affairs and Trade, DFAT) pada lewat malam semalam turut menegah sebarang perjalanan ke negara Eropah Timur itu.

Pada masa yang sama, Australia turut mengarahkan ahli keluarga kakitangan kedutaan di Kyiv untuk pulang dengan kadar segera.

“Pihak DFAT telah membuka portal pendaftaran kepada warga Australia untuk mendaftar nama dan keberadaan mereka di Ukraine atas sebab keselamatan,” kata arahan itu.

Sementara itu, kerajaan United Kingdom menyatakan sebahagian kakitangan dan ahli keluarga kedutaan negara itu Kyiv telah dibawa keluar dari Ukraine.

“Ini sebagai tindak balas terhadap peningkatan ancaman dari Rusia. Kedutaan British masih dibuka dan menjalankan kerja-kerja penting,” kata Pejabat Luar, Komanwel dan Pembangunan UK (Foreign, Commonwealth & Development Office, FCDO).

Jerman menawarkan bantuan untuk membawa pulang ahli keluarga kakitangan kedutaan negara itu di Ukraine sekiranya diperlukan. Tawaran turut diberikan kepada pekerja organisasi Jerman yang sedang berada di negara Eropah Timur itu.

“Ini adalah langkah bagi memastikan keselamatan rakyat Jerman yang sedang berada di sana,” kata jurucakap Kementerian Luar Jerman, Christopher Burger.

Beliau menegaskan kedutaan negara itu masih berfungsi seperti biasa di Kyiv.

Norway telah mengeluarkan arahan sekatan perjalanan yang tidak perlu ke Ukraine terhadap rakyatnya.

Perkembangan terbaharu ini berlaku berikutan kebimbangan kemungkinan ancaman serangan tentera Rusia terhadap Ukraine.

Sebelum ini, kedutaan Rusia telah menghantar pulang ahli keluarga diplomat dari Kyiv. Amerika Syarikat telah memberikan pelepasan kepada kakitangan kedutaan untuk pulang ke negara asal. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply