Home PolitikBarisan Nasional UMNO Selangor tetap bersama PAS dan Muafakat Nasional – Noh

UMNO Selangor tetap bersama PAS dan Muafakat Nasional – Noh

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 23 Jan – UMNO Selangor tetap meneruskan kerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) sebagai mana diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang lalu.

Ketua Perhubungan UMNO Negeri, Tan Sri Noh Omar berkata, UMNO dalam Barisan Nasional (BN) dan PAS merupakan pembangkang di Selangor dan disebabkan itu tidak ada masalah untuk meneruskan kerjasama antara kedua-dua parti.

“Kami di Selangor ini beza sikit daripada negeri lain sebab di Selangor UMNO pembangkang, PAS juga pembangkang,

“Kalau kita lihat sejarah, Muafakat Nasional ini ditubuhkan waktu UMNO jadi pembangkang di Parlimen… PAS juga jadi pembangkang di Parlimen ketika itu,

“Bila kita bersama jadi pembangkang suara kita sama, maka tertubuhlah MN. Jadi, konsep dan semangat itu juga sama di Selangor,” katanya ketika ditanya mengenai hubungan antara UMNO dan PAS dalam MN selepas UMNO Kelantan membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan PAS negeri berkuatkuasa serta-merta.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Koperasi Kipidap Malaysia Berhad, hari ini.

Hadir sama Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah.

Mengulas lanjut, Noh berkata, UMNO Selangor masih mengekalkan semangat MN dan berpegang dengan usul yang dibuat oleh Perhimpunan Agong UMNO yang lepas yang akan mempertingkatkan kerjasama dalam MN.

“Walau apa pun, kami akan tetap bersama dengan keputusan yang dibuat oleh Presiden parti kerana ia akhirnya akan menguatkan kekuatan UMNO sendiri,” tambahnya.

Semalam, Umno Kelantan memutuskan ia tidak lagi bersama Pas negeri melalui MN, dengan langkah itu berkuat kuasa serta-merta.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata parti itu menerima pakai keputusan itu memandangkan Pas Kelantan yang masih bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan masih memilih parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sementara itu, mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Noh berkata BN terbukti berjaya ketika pilihan raya Melaka selepas berjalan secara solo pada pilihan raya negeri. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply