KUALA LUMPUR, 23 Jan – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, kerajaan menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan terus membantu rakyat dalam mengurangkan masalah kenaikan harga barang.
Menurutnya, selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya koperasi memainkan peranan, pihaknya komited membantu ahli dengan menubuhkan Coop Mart secara berperingkat di semua kawasan yang disasarkan.
“Dengan adanya Coop Mart itu kita berupaya memasarkan barang keperluan lebih murah daripada harga pasaran. Jadi kita berhasrat menubuhkannya di semua 500 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan kedai ini,
“Coop Mart ini akan diwujudkan di kawasan perumahan dalam bandar terutama di lokasi projek perumahan rakyat (PPR), rumah kos rendah supaya ada kedai koperasi yang mesti jual barang dengan murah,
“Sebagai contoh Koperasi Kipidap sudah keluarkan Air Kipidap dia, bayangkan kalau koperasi ini mempunyai ahli yang ramai dan mereka merupakan pengeluar bahan makanan sekaligus dapat membantu memasarkan produk-produk mereka,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Koperasi Kipidap Malaysia Berhad di Dewan Rekreasi Yayasan Pendidikan Cheras, pada Ahad.
Hadir sama Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) yang juga Pengerusi Koperasi Kipidap Malaysia Berhad, Abdul Rani Kulup Abdullah.
Noh menjelaskan, pada ketika ini pihaknya sedang mengubah suai dua tempat untuk Coop Mart iaitu masing-masing di Ampang dan Putrajaya, yang kedua-duanya dalam kawasan PPR.
“Ketika ini kita sedang mengubah suai 2 tempat untuk Coop Mart iaitu satu di Ampang dan Putrajaya, kedua-dua dalam kawasan PPR,
“Jadi kedai Coop Mart itu akan disiapkan dengan reka bentuk standard seperti kedai serbaneka (7-Eleven),
“Dalam usaha memastikan memastikan harga murah, ambil terus barang daripada pengeluar tanpa pembabitan orang tengah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Noh memaklumkan, kerajaan mempunyai peruntukan sebanyak RM20 juta untuk membantu koperasi.
“Jadi, kerajaan akan ‘top up’ kos kekurangan 15 peratus harga yang Coop Mart melalui sistem dalam talian (online),
“Maksudnya subsidi itu bukan diberikan kepada pembeli, tetapi melalui sistem dalam talian itu, kedai akan kemas kini berapa yang mereka sudah jual. Jadi perbezaan itu akan dituntut kepada SKM,” tambahnya.
Terdahlu, Noh telah merasmikan pelancaran Koperasi Kipidap Malaysia Berhad bagi memberi ruang kepada bekas tentera dalam meningkatkan taraf ekonomi mereka.-airtimes.my
