Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Tentera Darat hulur sumbangan kepada anggota terjejas banjir di Pahang

Tentera Darat hulur sumbangan kepada anggota terjejas banjir di Pahang

by Nurulhuda

MENTAKAB, 16 Jan – Aspek kebajikan keluarga dan anggota tentera sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sehubungan itu, Tentera Darat Malaysia (TDM) terus komited dalam membantu menghulurkan sumbangan serta keperluan kepada warganya yang terkesan dengan bencana banjir banjir baru-baru ini.

TDM menerusi hantaran di media sosial berkata, pihaknya telah menghulurkan sumbangan berbentuk wang tunai dan barang keperluan kepada 82 anggota termasuk pegawai di bawah naungan Briged Keempat Infantri Malaysia (Mekanize) (4 Bgd Mek) yang terkesan akibat banjir.

Penyerahan sumbangan itu telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain di Dewan Adnan, Batalion Ketujuh Rejimen Renjer Diraja (Mek) (7 RRD Mek) Kem Batu 5, Mentakab, hari ini.

“Seramai 6 pegawai dan 76 anggota di KTJ 4 Briged (Mek) yang terkesan akibat bencana banjir telah menerima sumbangan berbentuk wang tunai dan barang keperluan,”jelas hantaran itu.

Zamrose dalam ucapannya, menyatakan bahawa TDM akan berusaha untuk menyediakan sebarang bentuk bantuan yang sewajarnya bagi membantu warga TDM yang terkesan banjir untuk meneruskan kehidupan harian mereka.

Beliau juga berpesan agar semua warga TDM sentiasa menjaga kesihatan diri dan berwaspada sepanjang masa dalam menghadapi sebarang kemungkinan musibah sebegini pada masa hadapan.

Tambah TDM, kebajikan warganya menjadi keutamaan, seiring dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga yang turut menekankan kepada peningkatan kualiti hidup, keperluan kebajikan dan kesejahteraan warga anggota serta juga veteran. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply