Home Pertahanan dan Keselamatan Polis bongkar makmal dadah, rampas ketamin bernilai RM111.2 juta

Polis bongkar makmal dadah, rampas ketamin bernilai RM111.2 juta

by Nurulhuda

IPOH, 16 Jan – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membongkar kegiatan sebuah kilang yang dijadikan makmal bagi memproses dadah yang dianggarkan bernilai RM111,2 juta dalam serbuan di sebuah kilang di kawasan perindustrian di Pusing, pada 13 dan 14 Januari lalu.

Serbuan yang bermula jam 1.30 petang dan berakhir jam 5.45 pagi itu dijalankan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dibantu JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan awal polis mendapati sindiket berkenaan menjalankan modus operandi dengan menyewa premis kilang sebagai makmal, untuk memproses dadah berkenaan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Beliau berkata, selain merampas kesemua dadah berkenaan, pihak polis turut menahan 3 orang suspek lelaki berusia 28 tahun hingga 40 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti memproses serta mengedar dadah tersebut bagi pasaran tempatan.

Ia dipercayai menjadi tangkapan dadah kedua terbesar di negara setakat ini.

Pada Januari tahun lepas, polis Johor memperoleh jumlah besar dadah melebihi RM201 juta dalam narkotik.

Ayob Khan menjelaskan, daripada siasatan awal didapati sindiket ini mula aktif sejak pertengahan tahun 2021.

“Modus operandi yang digunakan oleh sindiket ini ialah dengan menjadikan premis di kawasan perindustrian sebagai makmal memproses dadah,

“Hasil serbuan yang telah dijalankan di sebuah kilang, pihak polis telah berjaya merampas sejumlah dadah ketamin seberat 2 tan, bernilai RM111.2 juta,

“Turut dirampas bahan-bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah dianggarkan bernilai RM200,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Perak, pada Ahad.

Menurutnya, siasatan juga mendapati dadah yang dirampas itu dipercayai untuk pasaran tempatan dan boleh digunakan oleh 6.7 juta penagih.

Tambahnya, kesemua 3 suspek direman selama 4 hari manakala ujian air kencing dijalankan mendapati 2 daripada suspek positif dadah serta mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan jenayah dan dadah.

“Polis kini sedang menjejaki 3 lagi suspek bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,

“Pihak JSJN akan terus berusaha mengesan saki baki ahli sindiket yang terbabit dan membanteras dadah di negara ini,” tambahnya.

Kesemua dadah yang dirampas dan aset yang disita dianggarkan bernilai RM111,401,307.00 termasuk beberapa buah kenderaan. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply