PERLABUHAN KLANG, 17 Jan – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Negeri Selangor menahan sebuah bot nelayan yang menggaji kru warga asing tanpa kebenaran di perairan negara, semalam.
Pengarah APMM Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, cubaan melarikan diri gagal apabila pihak APMM berjaya menahan bot berkenaan di 9.3 batu nautika dari Tanjung Karang, Selangor.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan oleh 3 kru warga asing berumur lingkungan antara 14 hingga 41 tahun,
“Kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. 2 daripadanya warga Thailand dan seorang warga Myanmar,” jelasnya.
Rosli berkata, kesemua hasil tangkapan ikan campur yang dianggarkan seberat 100 kilogram (kg) serta bot dirampas dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM), Pulau Indah bagi siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu mengaji pekerja asing serta tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
Selain itu, Rosli berkata, pihaknya memandang serius terhadap operasi penguatkuasaan di laut dan akan mengambil tindakan tegas kepada setiap penjenayah yang melakukan aktiviti jenayah di sepanjang Zon Maritim Malaysia. -airtimes.my