Home Semasa PM boleh nasihatkan Agong pecat KP SPRM

PM boleh nasihatkan Agong pecat KP SPRM

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai kuasa untuk memecat atau merehatkan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berpandukan undang-undang sedia ada.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sebarang keputusan memecat atau merehatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM boleh dimulakan oleh Perdana Menteri seperti mana berpandukan undang-undang sedia ada hari ini.

“Berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Seksyen 5, (3) Ketua Pesuruhjaya hendaklah, dalam tempoh pelantikannya sebagaimana yang dinyatakan dalam surat cara pelantikannya, memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang Di Pertuan Agong, tertakluk kepada nasihat Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Akmal yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, merujuk kepada laporan media bahawa Azam Baki tidak akan berundur daripada jawatan disandang dan tiada mana-mana pihak boleh manamatkan tugasnya selain daripada Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Akmal, AMK berpendirian seperti yang dinyatakan ketika ‘Konvoi Selamatkan SPRM’ di Putrajaya pada Isnin lepas bahawa Perdana Menteri seharusnya lebih berani untuk mempertahankan integriti.

“Beliau sepatutnya lebih proaktif untuk menyelesaikan kemelut ini dengan segera dan seterusnya membuat pindaan undang-undang agar proses perlantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu melalui proses Parlimen,

“Keengganan kerajaan untuk bertindak dan sebaliknya cuba menegakkan benang yang basah hanya akan terus melemahkan institusi SPRM serta membawa negara ke kancah ‘darurat integriti’ lebih mendalam,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply