Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Tentera Darat komited bantu bersihkan lokasi terjejas banjir

Tentera Darat komited bantu bersihkan lokasi terjejas banjir

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 31 Dis – Bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan sahaja membabitkan operasi pemindahan malah turut membantu kerja-kerja pembersihan di beberapa lokasi banjir yang terjejas.

Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi hantaran di media sosial memaklumkan, anggotanya telah diaturgerakkan di lokasi-lokasi yang terjejas banjir bagi membantu penduduk setempat melaksanakan kerja-kerja pembersihan termasuklah di sekolah, masjid dan fasiliti awam yang lain.

Menurut TDM, Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1 KAD) telah mengaturgerakkan anggotanya bagi membantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk tempatan melaksanakan kerja-kerja pembersihan di Sekolah Kebangsaan Mambang, Pekan pada hari ini.

Selain itu, Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (25 RAMD) juga telah melakukan kerja-kerja pembersihan di Sekolah Kebangsaan Sungai Dua, Bentong pada Jumaat.

Anggota Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1 KAD) dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk tempatan telah melakukan kerja-kerja pembersihan di Sekolah Kebangsaan Mambang, Pekan, hari ini

“Kerja-kerja pembersihan melibatkan gotong royong untuk menyingkirkan lumpur-lumpur tebal yang menyaluti kawasan sekolah serta mengumpulkan barangan yang ditenggelami air demi keselesaan kepada warga sekolah tersebut,

“Bantuan pasca banjir di tempat-tempat awam diteruskan demi meringankan beban penduduk sekitar untuk membersihkan sekolah tersebut,” jelas TDM.

Sementara itu, pada Khamis, seramai 43 orang pegawai dan anggota dari Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu Diraja (4 RAMD) telah diaturgerakkan ke Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Jalan Acob Kapar di Klang.

Seramai 43 orang pegawai dan anggota dari Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu Diraja (4 RAMD) telah diaturgerakkan ke Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Jalan Acob Kapar di Klang.

“Kesemua anggota melakukan kerja-kerja pembersihan dengan kerjasama agensi-agensi lain seperti gabungan badan bukan kerajaan (NGO), Majlis Perbandaran Klang, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD), Majlis Perbandaran Hulu Selangor dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang,” tambahnya.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang sebelum ini berkata, seramai 63 pegawai dan 856 anggota termasuk kumpulan sokongan telah diaturgerakkan bagi melaksanakan tugas bantuan menyelamat dan memindahkan mangsa banjir.

Beliau menjelaskan, ATM sentiasa bersedia dengan kekuatan satu kompeni iaitu lima pegawai dan 97 anggota yang diletakkan dalam keadaan kesiapsiagaan di setiap negeri untuk diatur gerak ke lokasi terjejas banjir apabila terdapat keperluan tambahan.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply