Home Pertahanan dan Keselamatan Komuniti maritim perlu waspada musim tengkujuh, ambil iktibar insiden bot karam

Komuniti maritim perlu waspada musim tengkujuh, ambil iktibar insiden bot karam

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 31 Dis – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Johor menasihatkan komuniti maritim terutama nelayan agar sentiasa berwaspada dalam menghadapi musim monsun timur laut ketika melakukan aktiviti perikanan di laut.

Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, mereka perlu melakukan beberapa persediaan awal bagi memastikan tiada insiden yang tidak diingini berlaku.

“Komuniti maritim terutama nelayan dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca dan laut ketika ingin melakukan aktiviti perikanan di laut,

“Mereka perlu mendapatkan maklumat ramalan cuaca terlebih dahulu dan memastikan peralatan keselamatan seperti jaket serta pelampung keselamatan sentiasa dibawa serta berada dalam keadaan terbaik,

“Mereka juga digalakkan untuk menghubungi Pejabat APMM yang berhampiran bagi memaklumkan aktiviti dan lokasi yang akan mereka lakukan di perairan seperti mana yang diamalkan oleh komuniti maritim di Jepun serta negara maju,” jelasnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau menjelaskan, perkara itu ditegaskan selepas pihaknya merekodkan sebanyak 68 kes terbabit dalam OP CARILAMAT yang melibatkan 325 mangsa sepanjang tahun 2021.

Daripada jumlah berkenaan, Nurul Hizam menjelaskan, seramai 257 mangsa berjaya diselamatkan dan 42 mangsa maut manakala baki 26 mangsa masih hilang di laut.

“Dianggarkan sebanyak RM3.4 juta nilai aset dan harta yang telah berjaya diselamatkan sepanjang operasi tersebut dijalankan,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut memberi peringatan terhadap warga asing yang ingin berlayar ke perairan negara supaya menggunakan jalan yang sah dan diiktiraf Pengarah Laut Malaysia.

Tegasnya, warga asing turut diingatkan agar tidak terpedaya dengan sebarang khidmat yang ditawarkan oleh ejen atau tekong yang tidak bertanggungjawab.

“Bagi kes terburuk direkodkan pada tahun 2021 adalah melibatkan kejadian kira-kira 50 orang mangsa bot yang disyaki membawa Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terbalik di Tanjung Balau, pada 15 Disember lalu dan telah meragut 21 nyawa,

“Mengambil iktibar daripada peristiwa hitam itu, Maritim Johor ingin memberi amaran keras kepada warga asing yang berkeinginan untuk memasuki negara terutama di negeri Johor ini agar menggunakan pintu yang sah dan selamat,” tambah Nurul Hizam lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply