Home Semasa 32,044 mangsa ditempatkan di 162 PPS di Selangor

32,044 mangsa ditempatkan di 162 PPS di Selangor

by Nurulhuda

SELANGOR, 20 Dis – Lebih ramai mangsa banjir di kawasan Taman Sri Muda dan Seksyen 25, Shah Alam dapat dikeluarkan setakat jam 10.20 pagi tadi.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, lebih daripada 30 bot daripada aset Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) digerakkan untuk mengeluarkan mangsa banjir di kawasan itu.

Bagaimanapun, Amirudin menjelaskan, terdapat ramai penduduk di kawasan Taman Sri Muda tidak mahu berpindah.

“Tumpuan utama waktu ini adalah bekalan makanan. Air mulai surut kepada kedalaman 1 hingga 2 meter,

“Kawasan Kampung Baru Hicom Shah Alam diberi penumpuan dengan dokongan pasukan Briged ke-10 Infantri Malaysia (10 Bgd Para) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA),” katanya melalui ciapan di Twitter, pada Isnin.

Beliau menjelaskan, seramai 32,044 mangsa ditempatkan di 162 Pusat Perpindahan Sementara (PPS) di 9 daerah di Selangor.

“Daerah Klang mencatatkan jumlah tertinggi dengan jumlah 18,858 individu,” jelasnya.

Tambahnya, sehingga kini, 8 PPS telah dibuka lagi bagi menempatkan mangsa banjir di kawasan ini.

“Kawasan Kuala Selangor menunjukkan pola peningkatan air. Pejabat Tanah Kuala Selangor bersama semua agensi memantau dan melaksana proses evakuasi serta perpindahan mangsa,” tambahnya.

Pada Ahad, beliau menjelaskan, sebanyak 90 peratus mangsa banjir di seluruh kawasan yang dilanda bencana banjir di Selangor berjaya diselamat dan dipindahkan.

Sementara itu, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut telah diaturgerakkan ke Taman Sri Muda bagi membantu agensi yang terlibat dalam menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap di kediaman mereka. -airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply