Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Jasa 27 Panglima Tentera Darat diabadikan di Muzium Tentera Darat

Jasa 27 Panglima Tentera Darat diabadikan di Muzium Tentera Darat

by Nurulhuda

PORT DICKSON, 14 Dis – Nama 27 bekas Panglima Tentera Darat (PTD) diabadikan dalam Geleri Panglima Tentera Darat di  Muzium Tentera Darat untuk tatapan generasi akan datang.

Galeri yang bakal dibuka untuk kunjungan warga tentera dan awam di Muzium TD bertempat Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) ini telah dirasmikan oleh PTD, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain pada Isnin.

Majlis perasmian turut disaksikan oleh 14 orang mantan PTD serta 11 orang waris dan wakil mantan PTD.

Zamrose menjelaskan, penubuhan Galeri PTD ini telah diilhamkan oleh PTD Ke-25, Jeneral Tan Sri Raja Mohammed Affandi Raja Mohammed Noor, pada tahun 2014 yang lalu.

“Objektif penubuhannya bertujuan mempamerkan koleksi peribadi PTD pertama sehingga PTD Ke-28, sebagai tatapan serta rujukan buat generasi akan datang,

“Selain itu, galeri ini juga adalah satu bentuk penghargaan dari Tentera Darat Malaysia (TDM) kepada mantan-mantan PTD di atas segala pengorbanan serta sumbangan yang telah diabadikan kepada TDM di sepanjang perkhidmatan mereka,” jelasnya.

Tambahnya, ketika ini, geleri tersebut mempamerkan koleksi peribadi 28 orang PTD antaranya Watikah Perlantikan, Tongkat Kuasa, Pingat dan Darjah Kebesaran yang diterima serta pelbagai koleksi peribadi yang disumbangkan oleh mantan-mantan PTD.

Menurutnya, penubuhan galeri ini mampu dimanfaatkan oleh warga TDM serta masyarakat awam, dalam usaha untuk menghayati segala pengalaman dan jasa bakti yang telah ditaburkan oleh kesemua mantan PTD ini.

“Seluruh warga TDM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih di atas kesudian mantan-mantan PTD serta waris mereka, meluangkan masa menghadiri majlis istimewa ini,

“TDM amat menyanjung tinggi jasa mantan-mantan PTD yang telah berusaha gigih membentuk dan membina asas-asas kukuh membolehkan ketumbukan ini berkembang maju mengikut peredaran masa,

“Melalui usaha mereka, TD dapat menunaikan setiap amanah yang disandarkan oleh masyarakat dan negara terhadap organisasi pertahanan ini,

“Namun, tanpa daya kepimpinan serta cetusan idea bernas daripada mereka, kita mungkin tidak mampu berdiri sama tinggi dengan TD luar negara,

“Pengorbanan pemimpin-pemimpin ini wajar dikenang serta diabadikan untuk tatapan generasi kini dan akan datang, maka dengan ini tercetuslah idea penubuhan sebuah galeri yang dapat memberi gambaran menyeluruh tentang sumbangan mantan-mantan PTD untuk tatapan rakyat Malaysia,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Zamrose turut berharap agar segala koleksi-koleksi ini akan mampu diangkat sebagai satu sumber rujukan sejarah serta bahan ilmiah di masa akan datang.

Sebagai tanda memeterai perasmian galeri, PTD bersama mantan-mantan menandatangani plat perasmian di mana plat ini kemudian dilekatkan di bawah gambar masing-masing.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply