Home Semasa Ismail Sabri lawat Indonesia, perkukuh hubungan dua hala

Ismail Sabri lawat Indonesia, perkukuh hubungan dua hala

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Nov – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memulakan lawatan rasmi pertama beliau ke Indonesia selama 3 hari bermula hari ini.

Ismail Sabri dijadual mengadakan perjumpaan dengan rakan sejawatnya, Presiden Joko Widodo bagi mengukuhkan hubungan dua hala yang sedia terjalin antara kedua-dua negara.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, lawatan kerja ini memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin negara untuk meneroka peluang kerjasama dalam usaha-usaha pemulihan daripada kesan pandemik COVID-19.

Kedua-dua pemimpin juga akan membincangkan perkembangan-perkembangan penting dalam rantau ini dalam konteks kerjasama ASEAN, serta cabaran-cabaran yang mampu menjejaskan keamanan, pertumbuhan dan kemakmuran rantau ini.

“Lawatan rasmi ini akan membuka lembaran baru dalam hubungan dua hala yang sedia kukuh dan pelbagai antara Malaysia serta Republik Indonesia,” jelas kenyataan itu.

Indonesia menjadi negara pertama dikunjungi beliau selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos lalu.

Menurut Wisma Putra, Ismail Sabri turut akan mengadakan perjumpaan dengan komuniti perniagaan dan pemain industri utama Indonesia, Ketua-ketua Editor Indonesia, diaspora Malaysia di Indonesia serta menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman dan perjanjian di antara kedua-dua negara.

“Beliau juga dijangka melawat fasiliti industri pertahanan di wilayah Bandung dalam tempoh lawatan rasmi itu,

“lawatan rasmi ini dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia dan Republik Indonesia,” tambahnya.

Turut mengiringi Perdana Menteri, Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan pegawai-pegawai kerajaan dari kementerian serta agensi berkaitan.

Related Articles

Leave a Reply