Home Semasa SPR terima 68,228 permohonan daftar pemilih baharu

SPR terima 68,228 permohonan daftar pemilih baharu

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 1 Nov – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan telah menerima sebanyak 68,228 permohonan pendaftaran pemilih baharu daripada warganegara yang layak dalam tempoh antara 1 Julai hingga 30 September lalu.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, manakala sebanyak 15,143 permohonan bagi pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar bagi tempoh sama.

“SPR akan melaksanakan urusan pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi Suku Tahun Ketiga Tahun 2021 (ST3/2021) bagi semakan permohonan itu selama 14 hari mulai 2 hingga 15 November ini di 854 tempat pameran RDPT ST3/2021 di seluruh negara,” katanya dalam kenyatan, hari ini.

Beliau berkata, semakan RDPT ST3/2021 boleh dibuat melalui beberapa kaedah seperti hadir ke 854 tempat pameran RDPT ST3/2021 di seluruh negara dan mengimbas Kod QR bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen yang diletakkan atau melayari portal rasmi pejabat-pejabat pilihan raya negeri.

“Hadir ke pejabat pilihan raya negeri yang berkenaan dan menyemak buku RDPT ST3/2021 yang disediakan; melayari portal rasmi SPR di https://pengundi.spr.gov.my/ atau membuat semakan melalui aplikasi MySPR Semak,” ujarnya.

Menurutnya, semua pemohon dinasihatkan untuk menyemak nama mereka dalam RDPT ST3/2021.

“Sekiranya pemohon mendapati namanya tidak disenaraikan dalam RDPT ST3/2021, mereka boleh membuat tuntutan melalui Borang B,

“Bagi pemilih-pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam RDPT ST3/2021 dalam satu-satu bahagian pilihan raya, boleh berbuat demikian, dengan mengisi Borang C,

“Borang B dan Borang C boleh dimuat turun dari portal pejabat-pejabat pilihan raya negeri dan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pemilih (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh pameran RDPT itu diadakan,” jelasnya.

Tambahnya, semasa tempoh Pameran RDPT ST3/2021, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih kerana telah meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan atau apa-apa sebab berdasarkan kepada Peraturan 10 dan 25(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

“Sebarang pertanyaan mengenai pameran RDPT ST3/2021 boleh menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018 atau mana-mana pejabat pilihan raya negeri,” katanya lagi. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply