SUNGAI BESI, 22 Okt – Sebanyak 150 pek barangan keperluan harian telah diserahkan kepada anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kelompok B 40 yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.
Program ‘Desatera Sehati Box’ merupakan sumbangan dari Kumpulan Brahims Dewina melalui Syarikat Desatera Sendirian Berhad (Desatera) yang bertujuan untuk meringankan beban kos kehidupan keluarga anggota TDM yang terkesan akibat wabak berkenaan.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif, Kumpulan Brahim’s-Dewina, Datuk Seri Ibrahim Ahmad kepada Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain di Dewan Dato’ Jamil Ahmad, Kem Perdana Sungai Besi, hari ini.
“Program sumbangan Desatera Sehati Box ini, merupakan suatu bentuk pengiktirafan di atas segala sumbangan warga TDM dalam memerangi penularan wabak COVID-19,
“Justeru, izinkan saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kepimpinan kumpulan Brahim’s-Dewina, kepimpinan Desatera dan mana-mana pihak yang terlibat secara langsung serta tidak langsung dalam menyumbang kepada 150 golongan B 40 warga TDM ini,
“Sesungguhnya, sumbangan yang diterima ini, pastinya akan meringankan beban anggota-anggota terbabit,” katanya.
Zamrose turut menjelaskan, sumbangan sebegini juga mampu dijadikan sebagai pemangkin dalam usaha TDM untuk terus komited dan berusaha menjaga kedaulatan serta keselamatan negara.
“Sumbangan sebegini adalah sebagai pemangkin dalam usaha kami sebagai sebuah organisasi untuk terus komited menggembleng segala kudrat, usaha dan pendekatan bagi meneruskan inisiatif demi kecemerlangan serta kegemilangan TDM untuk berbakti kepada negara,” tambahnya.
Sehingga hari ini, syarikat ini telah mengedarkan lebih 1,200 ‘Desatera Sehati Box’ kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan tengah dan selatan Semenanjung Malaysia.
Penyediaan sumbangan berupa keperluan harian ini terdiri daripada makanan asas seperti beras, gula dan minyak masak. Ia turut mengandungi barangan seperti sabun, syampoo dan hand sanitizer.
Sejumlah 20 jenis barangan yang bernilai hampir RM120.00 bagi setiap kotak disediakan bagi tujuan ini. -airtimes.my
Galeri gambar: