KUALA LUMPUR, 19 Okt – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan usaha untuk mengurangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digunapakai sebelum ini teah siap.
Menurut beliau, kerajaan bermatlamat untuk merangka SOP yang mudah difahamai dan dipatuhi oleh rakyat Malaysia.
“Pengurangan 181 SOP kepada 1 SOP Am dan 9 Garis Panduan telah siap. Sekiranya ianya dipersetujui, ia akan diumumkan kepada rakyat,” kata Hishammuddin dalam sidang media khas di Wisma Pertahanan, semalam.
Menurut beliau, dalam beralih ke fasa endemik, pelbagai kelonggaran telah diberikan termasuk rentas negeri dan pemansuhan MyTravel Pass.
“Dalam memberikan pelbagai kelonggaran, SOP mesti dipatuhi dan usaha kita adalah untuk memudahkan rakyat untuk memahami SOP yang sedia ada dengan harapan mereka berdisiplin serta patuh dengan garis panduan yang diberikan,
“Semua kelonggaran yang diberikan adalah bersyarat dan orang ramai mesti terus kukuh untuk mematuhi SOP yang diberikan,” katanya.
Beliau menjelaskan SOP Am tersebut akan dikuatkuasa menerusi Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Hishammuddin menambah, SOP am adlah berkaitan dengan langkah-langkah tetap untuk mengawal penularan seperti memakai pelitup muka, panduan pengudaraan, MySejahtera, dan syarat lengkap vaksin.
9 Garis Panduan adalah merangkumi aktiviti-aktiviti dalam pelbagai sektor. – airtimes.my