Home Semasa KKM lulus dos penggalak vaksin Pfizer di Malaysia

KKM lulus dos penggalak vaksin Pfizer di Malaysia

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 Pfizer selepas 6 bulan dos kedua diberikan kepada individu yang berusia 18 tahun ke atas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu telah diputuskan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-365 yang bersidang hari ini.

“Mesyuarat memberi kelulusan bersyarat bagi pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 Pfizer iaitu Comirnaty Concentrate for Dispersion for Injection (Comirnaty) keluaran Pfizer Manufacturing Belgium NV (Belgium) dan BioNTech Manufacturing GmbH, Germany, sekurang-kurangnya selepas 6 bulan dos kedua untuk golongan berumur 18 tahun dan ke atas,

“Vaksin Comirnaty sebelum ini telah diluluskan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berumur 12 tahun dan ke atas pada 15 Jun 2021. Ini merupakan vaksin COVID-19 pertama yang diluluskan bagi penggunaan dos penggalak di negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham menjelaskan, kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin ini dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin tersebut kekal positif,

“KKM juga sentiasa komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin COVID-19 di Malaysia, dengan memastikan ia telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply