Home Semasa COVID-19: Program pengurusan pandemik Wilayah Persekutuan ditambah baik

COVID-19: Program pengurusan pandemik Wilayah Persekutuan ditambah baik

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Polisi serta hala tuju Pusat Penyelarasan dan Pengurusan Pandemik COVID-19 (CCMC) di Wilayah Persekutuan (WP) yang dahulu akan diteruskan bagi memberi manfaat kepada penduduk di kawasan ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, polisi yang diperkenalkan dahulu bukan sahaja diteruskan, malah ia akan dibuat penambahbaikkan dari semasa ke semasa.

Sektor pelancongan di ibu negara dan Putrajaya antara fokus yang diangkat ke peringkat pusat oleh Jawatankuasa CCMC WP menjelang peralihan fasa seterusnya Program Pemulihan Negara (PPN). – Datuk Seri Shahidan Kassim

“Polisi pada program yang lepas akan diteruskan kerana ia suatu perkara yang cukup baik. Ia bukan sahaja diteruskan tetapi akan ditambah mana yang perlu supaya warga wilayah ini mendapat manfaat yang sewajarnya,

“Sekarang ini kita sedang bagi perhatian kepada warga asing yang sama-sama yang mendapat manfaat (pemerian vaksin) yang sama dengan rakyat tempatan,

“Kita akan buat perbincangan dan penguatkuasaan serta merta,” kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat CCMC WP, hari ini.

Selain itu, Shahidan yang juga merangkap Pengerusi Pusat CCMC WP menjelaskan, sektor pelancongan di ibu negara dan Putrajaya antara fokus yang diangkat ke peringkat pusat oleh Jawatankuasa CCMC WP menjelang peralihan fasa seterusnya Program Pemulihan Negara (PPN).

Menurutnya, tindakan tersebut dibuat berdasarkan peratusan populasi penduduk dewasa dan trend penurunan kes harian jangkitan COVID-19 di Wilayah Persekutuan telah mencapai imuniti kelompok.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan timbalannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias, ketika meninjau Pusat Penyelarasan dan Pengurusan Pandemik COVID-19 (CCMC) di Wilayah Persekutuan (WP), hari ini.

“Syor pembukaan lebih banyak sektor ekonomi termasuk pelancongan dibawa kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana pembukaan sektor berkenaan dilihat dapat memacu ekonomi di wilayah terbabit,

“Kita mahu persiapkan warga Wilayah Persekutuan ke fasa seterusnya termasuk daripada pandemik kepada endemik. Kita juga kita mahu memacu ekonomi dan cadangan untuk buka sektor pelancongan antara fokus yang akan diangkat oleh jawatan kuasa ini nanti, lebih-lebih lagi ibu negara antara kawasan pelancongan utama negara,

“Malah, jumlah individu yang mendapat dos pertama suntikan vaksin COVID-19 telah hampir mencecah 200 peratus dan ini mampu dilakukan,” tambahnya.

Penubuhan CCMC Wilayah persekutuan ini merupakan cetusan idea daripada bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa semasa beliau menggalas tugas sebagai Pengerusi CCMC WP dan kini Shahidan meneruskan inisatif tersebut melalui konsep 3K iaitu Keselamatan, Kesihatan Awam dan Kesejahteraan Ekonomi Masyarakat. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply