Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Kanak-kanak antara 54 PATI Indonesia dicekup Tentera Darat

Kanak-kanak antara 54 PATI Indonesia dicekup Tentera Darat

by Nurulhuda

BANDAR PENAWAR, 23 Ogos – Kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun antara 54 pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia yang ditangkap ketika cuba bersembunyi di tepi pantai Jalan Tanjung Balau, Sedili Kecil, awal pagi tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) berkata, penahanan PATI tersebut adalah hasil pemerhatian anggota Pos Pemerhati yang mengesan pergerakan bot yang mencurigakan di kawasan Bio-Desaru semasa melaksanakan Operasi Benteng (Op Benteng) dikawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged).

“Hasil maklumat tersebut, pasukan telah mengatur gerak Tim Quick Reaction Force (QRF) ke kawasan tersebut bagi membuat penjejakan,

“Pada jam 5.00 pagi, dengan bantuan Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) bersama tim QRF telah berjaya mengesan serta menangkap 54 PATI yang sedang bersembunyi di tepi pantai Jalan Tanjung Balau – Sedili Kecil (Bio Desaru),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun yang ditahan bersama 53 PATI Indonesia di Jalan Tanjung Balau-Sedili kecil, awal pagi tadi. – Foto: 3 Divisyen

Menurutnya, kesemua 54 PATI terdiri daripada 42 orang lelaki, 11 wanita serta seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 hingga 52 tahun itu merupakan warga Indonesia yang dipercayai baharu saja tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah.

“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM 23,108.30 melibatkan matawang Indonesia IDR 43,520,760.00 (RM 12,770.30) dan 43 buah telefon bimbit,

“Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kempas,” tambah kenyataan itu. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply