Home Semasa ADUN perlu bantu rakyat, henti perebutan kuasa – Sultan Selangor

ADUN perlu bantu rakyat, henti perebutan kuasa – Sultan Selangor

by Nurulhuda

SELANGOR, 23 Ogos – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor supaya tidak terlalu banyak berpolitik dan berebut kuasa serta kedudukan sehingga melupakan tanggungjawab utama untuk membela nasib rakyat.

Baginda menzahirkan rasa dukacita dan kesal melihat pergolakan, pertelagahan serta ketidaktentuan politik negara yang begitu ketara sejak kebelakangan ini.

“Nampaknya Ahli-Ahli Yang Berhormat tidak mahu belajar dari sejarah tentang kejatuhan sesebuah Negara akibat perebutan kuasa yang mengakibatkan perpecahan di dalam masyarakat,

“Tidakkah Ahli-ahli Yang Berhormat sedar 19 bahawa apabila pemimpin-pemimpin politik berebut kuasa dan keadaan politik menjadi tidak stabil maka rakyat yang terpaksa menanggung kesusahannya,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Ke-14, di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Sultan Selangor turut bertitah, ADUN sepatutnya menyedari betapa rakyat ketika kini berada dalam keadaan susah dan menderita ketika negara sedang berhadapan wabak COVID-19.

“ADUN sepatutnya lebih prihatin tentang masalah rakyat di kawasan masing-masing khususnya, dalam mengenal pasti bantuan yang perlu disalur kepada mereka yang terjejas akibat wabak COVID-19,

“Wakil rakyat juga sepatutnya menyemak jumlah rakyat yang hilang pekerjaan dan mencari jalan untuk membantu golongan itu selain mendapatkan data individu yang kehilangan ibu bapa, tempat pergantungan serta berhadapan dengan masalah tekanan hidup,” ujar baginda.

Menurut baginda, hal ini penting agar perkara itu boleh dibawa ke pengetahuan kerajaan negeri untuk ditentukan bentuk bantuan yang boleh dihulurkan kepada rakyat.

Pada masa yang sama, Sultan Selangor turut megingatkan Ahli Dewan bahawa mandat yang diberi oleh rakyat adalah amanah daripada Allah yang perlu dilaksana dengan jujur, bertanggungjawab dan penuh keikhlasan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply