PUTRAJAYA, 22 Ogos – Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyeru semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang untuk bersama-sama berjuang untuk memulihkan negara dari kemelut ekonomi dan kesihatan.
Beliau dalam perutusan khas pertama yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara berkata, rakyat Malaysia merupakan satu keluarga besar yang saling melengkapi antara satu sama lain.
“Kita adalah sebagai satu keluarga tanpa mengira agama, bangsa dan kaum. Setiap daripada anda adalah seperti keluarga saya sendiri – sama ada anak muda, mahupun yang telah berusia,
“Kita diibaratkan saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan,” katanya.
Ismail Sabri turut menegaskan usaha untuk memulihkan negara memerlukan kerjasama merentas parti bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela dalam menghadapi kesan ekonomi akibat krisis COVID-19.
“Saya menyeru kepada seluruh Ahli Dewan Rakyat, sama ada dalam atau luar kerajaan supaya menggembleng tenaga untuk memulihkan semula keadaan negara,
“Marilah kita, dengan fikiran terbuka dan dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan,
“Kita perlu bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita, iaitu Keluarga Malaysia,” tegasnya.
‘Lerailkan perbezaan politik’
Dalam ucapannya, Ismail Sabri turut menyatakan krisis politik yang melanda negara semenjak akhir-akhir ini telah menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat dan juga merugikan negara.
Tambahnya, perubahan kepimpinan sebanyak 2 kali dalam tempoh sepenggal pilihan raya adalah merugikan negara.
“Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, dengan hanya berbaki 21 bulan sebelum PRU-15, negara telah melalui dua peralihan kerajaan dan dua Perdana Menteri,
“Sebenarnya, peralihan tersebut dalam tempoh sepenggal adalah landskap politik yang merugikan rakyat dan negara,
“Marilah kita bergerak ke hadapan. Kita leraikan segala perebutan kuasa politik. Kita bersama-sama berjuang sebagai sebuah keluarga besar yang merangkumi penjawat awam, pekerja swasta dan yang bekerja sendiri – dalam memperbaik, merawat dan memulihkan semula tanah air ini,” tegasnya.
Beliau turut menjelaskan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan kepada semua pemimpin politik untuk melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
“Kesemua pihak sepatutnya sedia bekerja dalam satu pasukan demi mengharmonikan semula suasana. Dalam erti kata lain, kita perlu mendakap erat prinsip kebersamaan,
“Saya faham, kemelut politik yang melanda negara menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat. Oleh itu, kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan. Ini termasuklah mewujudkan kerjasama rentas parti,” ujar Ismail Sabri.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri turut menawarkan penglibatan wakil rakyat pembangkang untuk bersama-sama dalam usaha memulihkan Malaysia.
“Saya ingin menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19,” ujar Perdana Menteri.
Menurut beliau, kerajaan akan meneruskan usaha oleh pentadbiran sebelum ini untuk mencapai imuniti berkelompok serta memulihkan ekonomi negara.
Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan kerajaan akan membentuk strategi ekonomi baharu melalui perubahan mendasar.
Selain daripada itu, kerajaan terus bekerjasama dengan rakyat bagi mengembalikan daya saing Malaysia sebagai destinasi ekonomi serantau.
“Usaha kita tidak akan terhenti setakat ini. Kita akan terus bekerja bersama rakyat untuk membangunkan strategi baharu ekonomi bagi melaksanakan beberapa perubahan mendasar,
“Seluruhnya bertujuan memperkukuh asas ekonomi negara dan mengembalikan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara,” kata Ismail Sabri.
‘Suara golongan muda adalah diperlukan’
Pada masa yang sama, Ismail Sabri turut memberi jaminan penglibatan anak muda dalam usah pemulihan negara turut diberikan perhatian. Ini terutamanya bagi mencapai matlamat dan objektif untuk mengembalikan daya saing negara di persada dunia.
“Penglibatan anak muda amat diperlukan. Untuk itu, saya pastikan suara anak muda didengari dan diberikan tumpuan dalam kerajaan ini,
“Kepada anak muda di luar sana, jangan risau, penglibatan anda semua amat dihargai dan saya mengharapkan anda bersama dengan kerajaan ini untuk menjayakan agenda besar pemulihan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut berikrar untuk menyediakan pasukan pentadbiran yang bermatlamat untuk membawa keluar negara dari krisis kesihatan dan ekonomi.
“Saya berikrar menghasilkan yang terbaik demi membuktikan kepercayaan rakyat kepada pasukan saya tidak dipersiakan,
“Hasrat ini hanya berupaya dicapai melalui kerjasama daripada seluruh pentadbiran yang didukung oleh penjawat awam selaku tulang belakang pentadbiran negara,
“Marilah kita bersama-sama sebagai Keluarga Malaysia mengembalikan esejahteraan dan keselesaan hidup yang pernah dikecapi suatu ketika dulu,
“Saya membulat tekad, bekerja bersama rakyat!” ucap Ismail Sabri. – airtimes.my