Home Semasa Ismail Sabri mula tugas sebagai Perdana Menteri

Ismail Sabri mula tugas sebagai Perdana Menteri

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 23 Ogos – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memulakan tugas hari pertama beliau sebagai Perdana Menteri ke-9 di Bangunan Perdana Putra, hari ini.

Kenderaan yang membawa Perdana Menteri ke-9 itu dilihat tiba pada jam 8.23 pagi di Pejabat Perdana Menteri di perkarangan bangunan Putra Perdana.

Beliau disambut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Jamil Rakon sebelum dibawa ke aras 5, yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Affendi Buang.

Sebelum memasuki pejabat, Ismail Sabri mengimbas kad perakam waktu dan mengaminkan bacaan doa.

Selepas memasuki pejabatnya, beliau menandatangani buku selamat datang dan selamat bertugas.

Pada sebelah petang, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera dijadual melakukan lawatan kerja pertamanya ke Kuala Muda, Yan bagi meninjau keadaan kawasan terjejas banjir susulan fenomena kepala air dari Gunung Gerai yang berlaku pada Rabu lepas.

Ismail Sabri, 61 mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-9 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, pada Sabtu.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ia susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.

Semalam dalam ucapan sulungnya, Ismail Sabri memperkenalkan pendekatan Keluarga Malaysia bagi mengajak seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan fahaman politik bersama berganding bahu untuk memulihkan semula negara, terutama daripada pandemik COVID-19.

Menurutnya, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana baginya, keutuhan negara terikat dengan nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply