Home Semasa Perhimpunan #Lawan Sabtu ini dibatalkan

Perhimpunan #Lawan Sabtu ini dibatalkan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) berkata, perhimpunan #Lawan yang dijadualkan Sabtu ini dibatalkan susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

SSR menegaskan, tindakan Muhyiddin yang meletakan jawatan itu sebagai tanda ‘kemenangan rakyat Malaysia’ ke atas kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) beliau dalam mengekang penularan wabak COVID-19 di dalam negara.

“Turunnya Mahiaddin Md Yassin (Muhyiddin) adalah satu kemenangan rakyat Malaysia yang mempertanggungjawabkan beliau ke atas gugurnya lebih 13,000 nyawa yang telah pergi akibat kegagalan kerajaan pimpinan beliau dalam mengekang COVID-19,

“Berpandukan situasi semasa dan peletakan jawatan oleh Muhyiddin, maka kami membuat keputusan untuk tidak meneruskan untuk turun ke jalan pada 21 Ogos ini,” kata SSR.

Namun, kumpulan itu berkata perjuangan #Lawan tidak akan terhenti bagi memastikan proses demokrasi serta semak dan imbang kepada kerajaan diteruskan.

“Kami menggesa semua pemimpin untuk kembali semula ke ruang sebenar demokrasi berparlimen bagi membincangkan polisi-polisi serta tindakan selanjutnya untuk memulihkan semula keadaan negara kita kian tenat ini,

“Perdana Menteri yang akan dilantik perlu mempunyai fokus, idea, kemahuan dan keberanian untuk memastikan rakyat Malaysia dibela setelah sekian lama ditindas oleh kerajaan yang asyik berpolitik tetapi mengendahkan kemahuan rakyat,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, SSR juga menuntut agar bakal Perdana Menteri yang akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong harus melalui proses pemilihan berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

“Keabsahan bakal Perdana Menteri yang baru harus dibuktikan melalui undi percaya di Parlimen dan bukan hanya menggunakan surat akuan yang tidak telus serta mengendahkan mandat rakyat yang memilih ahli-ahli Parlimen kawasan mereka,

“Kami tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan lebih banyak aksi sekiranya kerajaan kerajaan baru yang akan dibentuk gagal untuk melaksanakan tanggungjawab memastikan negara ini aman daripada pandemik dan kemelut politik dangkal,” tambah mereka.

Pada 31 Julai lepas, SSR telah turun ke jalan raya menuntut agar Muhyiddin meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri.

“Rakyat berganding bahu untuk turun ke jalan raya walaupun mengetahui risiko di kala pandemik ini adalah satu bukti bahawa rakyat telah keletihan dan marah melihat negara ini semakin hancur,

“Kehancuran ini adalah akibat kegagalan Perdana Menteri untuk menjalankan tanggungjawab bagi memastikan negara kita berada dalam landasan yang betul menuju ke arah proses pemulihan,”jelasnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply