Home Semasa Darurat tidak disambung selepas 1 Ogos –Takiyuddin

Darurat tidak disambung selepas 1 Ogos –Takiyuddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat yang baharu apabila ia tamat pada 1 Ogos ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.

Takiyuddin menegaskan, persidangan Dewan Rakyat yang dijalankan sepanjang 26 Julai sehingga 2 Ogos itu juga telah mendapat perkenan Agong.

“Saya ada 3 perkara, respons kepada Ketua Pembangkang untuk memandu perjalanan mesyuarat hari ini.

“Isu mengenai Titah Yang di-Pertuan Agong, saya ingin menunjukkan di sini secara bertulis bahawa pemberitahu daripada Perdana Menteri kepada speaker berbunyi, izinkan saya baca,

“Dengan hormatnya, saya ingin memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong perkenan untuk kerajaan memanggil Mesyuarat Khas Penggal ke-3 Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat yang bersidang 26 Julai sehingga 2 Ogos 2021. Documents speak louder than words,

“Yang kedua, saya ingin mengesahkan pada hari ini di dalam dewan ini, bahawa Kerajaan Persekutuan memutuskan tidak akan menasihat Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan proklamasi darurat baru apabila tamat 1 hari bulan Ogos 2021,

“Ketiga, kerajaan telah membuat keputusan berdasarkan Perkara 150(3) untuk membatalkan semua ordinan darurat yang telah dibuat semasa proklamasi darurat ini,

“Enam ordinan darurat yang dibuat (sebelum ini) telah diputuskan untuk direvoke (dibatalkan) berkuat kuasa 21 Julai 2021, bukan hari ini,” katanya pada hari pertama Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 12 Januari lalu, Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung penularan wabak COVID-19 di Malaysia.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas darurat menjelaskan, bahawa Jemaah Menteri telah menasihati Seri Paduka Baginda mengeluarkan proklamasi darurat bagi seluruh negara menurut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan, berkuat kuasa 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021.

Perkara 150(1) itu antara lainnya memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat jika Baginda berpuas hati suatu darurat besar sedang berlaku menyebabkan keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan atau mana-mana bahagian terancam. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply