PAHANG, 14 Jul – Markas Briged Keempat Infantri Malaysia (Mekanize) (MK 4 Bgd (Mek)) telah mengatur gerak pasukan Batalion Pertama Kor Armor Diraja (1 KAD) dan 4 Kompeni Angkut Kor Perkhidmatan Diraja (4 Komp Angkut KPD (Mek)) bagi membantu Jawatankuasa Bencana Daerah Rompin membuat agihan bekalan air kepada penduduk Mukim Keratong.
Bekalan air penduduk kawasan tersebut terjejas susulan pencemaran air yang disebabkan oleh Kilang Sawit RISDA Ulu Keratong ke atas Sungai Pukin yang merupakan punca sumber air utama bagi penduduk.
Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi hantaran di media sosialnya berkata, pasukan 1 KAD telah mengagihkan bekalan air minuman kepada penduduk setempat manakala 4 Komp Angkut KPD (Mek) pula mengagihkan bekalan air bersih bermula 12 Julai lalu.
“Bantuan anggota dan aset diatur gerakkan bagi membantu pengagihan bekalan air bersih yang diselaraskan oleh Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP),” jelas hantaran itu.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Al-Sultan Abdullah turut berkenan mencemar duli berangkat ke Mukim Keratong, Rompin bagi melihat keadaan penduduk setempat yang terjejas pada Isnin.
Turut hadir, Panglima 4 Bgd (Mek), Brigadier Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin. -airtimes.my