Home Semasa COVID-19: Kes ICU semakin meningkat, sistem kesihatan hampir lumpuh

COVID-19: Kes ICU semakin meningkat, sistem kesihatan hampir lumpuh

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 8 Jul – Trend kemasukan kes COVID-19 ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kini berada pada tahap yang tinggi sehingga menyebabkan penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) masih melebihi kadar 90 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada masa yang sama, petugas barisan hadapan (Perubatan dan Kesihatan) mengalami gelaja burnout kerana terpaksa berjuang menangani begitu banyak kes COVID-19 untuk tempoh yang kian berlarutan.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa jumlah purata kes baharu harian selama 7 hari (30 Jun hingga 6 Julai 2021) ialah sebanyak 6,539 kes dan ia didapati masih tinggi berbanding nilai ambang PPN (Pelan Pemulihan Negara) (untuk Fasa Satu ke Fasa Dua) iaitu kurang daripada 4,000 kes sehari (atau 12.2 kes baharu harian bagi setiap 100,000 penduduk),

“Lebih membimbangkan lagi, trend kemasukan kes COVID-19 ke ICU masih berada pada tahap yang tinggi. Ia tidak menunjukkan penurunan yang ketara sejak dari Minggu Epidemiologi (ME) ke-23 (6 hingga 12 Jun 2021) hingga kini,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan situasi semasa COVID-19, pada Rabu.

Dr Noor Hisham juga berkata, negeri yang mencatatkan bilangan kes baharu melebihi nilai 12.2 kes bagi setiap 100,000 penduduk ialah Labuan, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Putrajaya, Sarawak dan Pahang.

Beliau berkata, 4 negeri menunjukkan peningkatan kes harian baharu melebihi kapasiti maksimum hospital di negeri tersebut dengan mencatatkan lebih 38 kes baharu harian bagi setiap 100,000 penduduk iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kes harian baharu yang dilaporkan tidak menunjukkan tanda-tanda pengurangan malah kes meningkat secara purata 2.6 peratus selama 7 hari kebelakangan ini,

“Jika situasi ini berterusan, sistem kesihatan di negeri-negeri tersebut akan lumpuh dan seterusnya
situasi yang sama bagi seluruh negara mungkin berlaku,” tambahnya.

Dr Noor Hisham berkata dengan perkembangan ini, KKM mengambil langkah segera bagi meningkatkan lagi kapasiti merawat COVID-19 di lapangan.

“Antara langkah berkenaan adalah Hospital Ampang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia, ditukar kepada ‘Full COVID-19 Hospital’,

“Langkah lain adalah dengan meningkatkan kapasiti Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) untuk dijadikan pusat rawatan pesakit kategori 4 dan 5; memindahkan pesakit bukan COVID-19 ke hospital swasta terutamanya sekitar HKL dan HTAR melalui mekanisme penyumberan luar dan mempertimbang menukar status Hospital Shah Alam bagi merawat kes COVID-19,

“Selain itu, langkah lain adalah menaik taraf kegunaan katil di wad biasa kepada katil rawatan pesakit kritikal COVID-19; menambah kapasiti katil bagi menempat pesakit COVID-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Awam khusus dalam merawat pesakit COVID-19 dan cadangan menggunakan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai hospital COVID-19,” ujarnya.

Nor Hisham berkata, pihak kementerian juga akan bekerjasama dengan 112 hospital swasta, khususnya di Lembah Klang bagi rawatan pesakit COVID-19 di katil wad biasa dan di katil ICU serta menggalakkan penubuhan lebih banyak Pusat Kuarantin Risiko Rendah Swasta (PKRCS) kendalian fasiliti kesihatan swasta.

“Kita juga akan memobilisasikan lebih ramai petugas kesihatan dari negeri-negeri PPN fasa kedua ke negeri-negeri kritikal bagi tujuan rawatan pesakit, mobilisasi anggota dari hospital swasta dan menggalakkan penglibatan sukarelawan dalam aktiviti mengawal wabak COVID-19 dan vaksinasi,” katanya.

Pada masa yang sama, Dr Noor Hisham turut mengingatkan negeri yang telah beralih ke fasa dua agar terus mengamalkan kepatuhan penuh kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi mempercepatkan proses pemulihan sektor kesihatan, ekonomi, dan sosial.-airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply