KUALA LUMPUR, 7 Jul – Pakatan Harapan (PH) menyifatkan sidang Parlimen yang akan berlangsung selama 5 hari bermula 26 Julai ini terlalu pendek tempohnya untuk membahaskan perkara yang berkaitan Proklamasi Darurat, Ordinan-Ordianan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Majlis Presiden PH dalam kenyataan turut meluahkan kekesalan kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya berniat untuk memberi penerangan berkaitan PPN COVID-19 tanpa sebarang perbahasan.
Selain itu, Proklamasi Darurat serta Ordinan Darurat pula hanya dibentangkan dan turut tidak dibahas mahupun diputuskan sekaligus ia tidak menepati titah pandangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Sekiranya kerajaan PN masih ingkar titah pandangan Baginda, maka persidangan Parlimen kali ini hanyalah satu sandiwara politik dan bagai ‘melepaskan batuk di tangga’,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu.
Pemimpin tertinggi 3 parti dalam PH ini turut menggesa kerajaan menjemput pihak pembangkang untuk bersama-sama merangka serta mengatur perjalanan sidang khas Parlimen ini bagi memastikan supaya usaha membawa rakyat keluar dari krisis pandemik ini dan ekonomi berjaya.
“Janganlah sehingga pihak pembangkang terpaksa mendesak sidang Parlimen khas yang adil,
“Kita mesti bersama memerangi COVID-19 untuk menyelamatkan negara dan bukannya berpolitik untuk melindungi jawatan dan kedudukan,” tambahnya.
Menurut mereka, Parlimen adalah medan mendengar masalah, menyuarakan rintihan dan memulihkan harapan rakyat disamping mencari penyelesaian kepada krisis negara.
“Prinsip akauntabiliti dan ketulusan perlu ditegakkan dengan peranan semak dan imbang yang melibatkan semua Ahli Parlimen dan Parlimen bukannya pentas untuk hanya mendengar kuliah Menteri tanpa diberi ruang membahas,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan bahawa Parlimen akan bersidang bermula 26 Julai 2021 selama 5 hari bagi Dewan Rakyat dan bermula 3 Ogos selama 3 hari pula bagi Dewan Negara.-airtimes.my