Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Kapten Nor Amziela ‘wanita besi’ MALBATT 850-8

Kapten Nor Amziela ‘wanita besi’ MALBATT 850-8

by Air Times News Network

MARAKAH, 7 Jul – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus memberi kepercayaan terhadap kemampuan pegawai dan anggota wanita untuk memikul tanggungjawab setanding lelaki tanpa mengira apa jua bentuk penugasan samada dalam bidang operasi, pentadbiran mahupun logistik.

Berdasarkan semangat dan komitmen yang tinggi, Komander Pasukan Batalion Malaysia 850-8 (MALBATT 850-8), Kolonel Azudin Hassan telah memberi kepercayaan kepada Kapten Nor Amziela Ani untuk menjawat jawatan penting dalam menyokong pengoperasian misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Nor Amziela daripada elemen Kor Perkhidmatan Diraja (KPD) telah dilantik sebagai Pegawai Sajian dan Pegawai Staf 2 Movement Controller (MOVCON) bagi penugasan dalam bidang operasi, pentadbiran serta logistik bagi MALBATT 850-8.

Beliau dipertanggungjawab bagi menguruskan pembekalan bahan makanan, pengurusan Stesen Petrol Minyak dan Pelincir (PMP) dan gas petroleum cecair (LPG) serta sajian bagi di kem tersebut.

Menurut Markas Angkatan Bersama (MK AB), pelantikan Nor Amziela ini terbukti berjaya apabila beliau selaku Pegawai Sajian berani memperkenalkan ‘Malaysian Cuisine & Delicacy’ semasa lawatan Deputy Commander Sector West dan Head of Mission Support Centre UNIFIL yang telah mendapat pujian daripada pihak mereka.

Selain itu, beliau turut bertanggungjawab untuk mengetuai pengurusan rumah masak yang menjadi nadi penting menyokong kepada penugasan lain seperti operasi, pentadbiran dan logistik MALBATT di kawasan misi UNIFIL ini.

“Pengalaman beliau menguruskan pergerakan operasi semasa berkhidmat di Pasukan 3 Kompeni Angkut, KPD di Kuching, Sarawak turut membantu Nor Amziela melaksanakan tugasanan seperti mengkoordinasi pengurusan pergerakan darat dan udara serta pergerakan anggota pergi dan balik ke tanah air,

“Semangat tinggi turut ditunjukkan oleh beliau apabila penugasanya sebagai anggota pengaman Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilanjutkan daripada 6 bulan menjadi setahun,” katanya.

Kecemerlangan Nor Amziela dalam melaksanakan tugas serta berpegang teguh kepada prinsip ‘lead by example’ telah mengharumkan nama MALBATT dan Malaysia di mata lain-lain kontinjen serta UNIFIL. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply