Home Semasa Imigresen serbu hotel saji pelacur warganegara asing

Imigresen serbu hotel saji pelacur warganegara asing

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menyerbu sebuah hotel di Taman Maluri, Cheras dan berjaya menahan seramai 15 orang wanita warganegara asing yang terlibat dalam aktiviti pelacuran.

Operasi yang dijalankan kira-kira jam 7.00 malam pada Selasa lalu melibatkan seramai 15 orang pegawai Imigresen dari Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan JIM Putrajaya.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud dalam kenyataan berkata, maklumat daripada risikan yang dijalankan mendapati sindiķet ini menjalankan aktivti dari satu hotel ke hotel yang lain setiap 2 minggu bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan oleh pihak berkuasa.

“Hasil pemeriksaan di premis tersebut, pasukan telah berjaya menahan seramai 15 orang wanita yang terdiri daripada 11 orang wanita warganegara Thailand, 3 wanita Vietnam, dan seorang wanita warganegara Indonesia. Kesemua yang ditahan berumur di antara 19 hingga 34 tahun,

“Aktiviti pelacuran ini dijalankan di tingkat 3 hotel tersebut dan bilik-bilik didaftar menggunakan nama warganegara tempatan yang disyaki bertindak sebagai penjaga bagi wanita-wanita warga asing tersebut,” jelasnya dalam kenyataan pada Rabu.

Khairul Dzaimee menjelaskan, perkhidmatan seks yang ditawarkan dengan harga serendah RM230 hingga RM500 bagi tempoh masa selama 45 minit.

“Separuh daripada bayaran akan diambil oleh majikan dan selebihnya merupakan ‘tips’ untuk wanita warga asing bagi setiap pelanggan,

“Mereka menjalankan aktiviti pelacuran di premis tersebut tanpa rasa takut terhadap pihak penguatkuasaan dan undang-undang serta tidak menghiraukan wabak COVID-19 yang sedang melanda,” ujarnya.

Selain daripada itu, seramai 7 orang lelaki warganegara Malaysia yang bekerja sebagai penyelia atau lebih dikenali sebagai CAPTAIN dan pengurus operasi di hotel tersebut turut ditahan.

“Kesemua tahanan akan dibawa ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya bagi menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut,

“Kes disiasat di atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” tambahnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply