Home Pertahanan dan Keselamatan Vaksin COVID-19: ATM aturgerak aset, petugas perubatan ke pendalaman Long Pasia

Vaksin COVID-19: ATM aturgerak aset, petugas perubatan ke pendalaman Long Pasia

by Nurulhuda

LOK KAWI, 24 Jun – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengaturgerakkan anggota dan aset bagi melaksanakan Program Jiwa Murni (PJM) Army Combat Medic Vaccination Initiative (ACMVI) ke Long Pasia untuk meneruskan sasaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Pelaksanaan PJM ini bertujuan untuk membantu pihak kerajaan negeri bagi mencapai sasaran imuniti kelompok penerima suntikan vaksin COVID-19 bagi penduduk di kawasan pedalaman negeri Sabah.

Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) berkata, seramai 2 orang pegawai dan 8 anggota perubatan dari Batalion Pertama Ubat (Komp 1 BN Ubat) telah diaturgerakan bagi melaksanakan program tersebut.

Majlis perlepasan konvoi tersebut telah disempurnakan oleh Panglima 5 Div, Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid di perkarangan Markas 5 Div, semalam.

“Atur gerak konvoi yang melibatkan 5 buah kenderaan jenis Isuzu D-Max menggunakan laluan jalan darat melalui Jalan Lok Kawi- Papar- Beaufort- Sipitang- Long Pasia ini diketuai oleh Pegawai Staf 1 Ordnans, Leftenan Kolonel Manan Husin,” jelasnya dalam hantaran di laman sosial pada Rabu.

Menurut hantaran tersebut, program hasil kerjasama bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memulakan proses vaksinasi kepada penduduk Long Pasia selama dua hari bermula hari ini dengan menyasarkan seramai 500 penerima vaksin bagi dos pertama.

“Bekalan vaksin diterima dari kerajaan negeri Sabah dan dibawa ke kawasan Long Pasia menggunakan kaedah pergerakan pesawat EC 725 milik Tentera Udara Diaja Malaysia (TUDM),

“Pelaksanaan program yang melibatkan usahasama antara 5 Divi dengan kerajaan negeri serta agensi awam yang lain adalah demi kesejahteraan dan manfaat kepada rakyat negeri Sabah,” jelasnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply