Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat PKPD: Tentera Darat pasang 300 gelung dawai kepung Perumahan Awam Desa Rejang

PKPD: Tentera Darat pasang 300 gelung dawai kepung Perumahan Awam Desa Rejang

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah mengaturgerakkan seramai 13 pegawai dan 150 anggota dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) dan 91 Rejimen Bantuan Rejimen Askar Jurutera Diraja (91 Rej Bantuan RAJD) bagi melaksanakan pemasangan kawat duri di Perumahan Awam Desa Rejang, malam tadi.

Pemasangan sebanyak 300 relung kawat duri ini adalah selaras dengan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang bermula pada tengah malam tadi sehingga 1 Julai 2021 berikutan pengesanan peningkatan kes harian COVID-19 di kawasan perumahan tersebut.

Pemasangan kawat duri telah dilaksanakan oleh anggota tentera pada jam 9 malam di laluan utama perumahan tersebut dan 2 blok yang disyaki menjadi punca dari kes indeks COVID-19 di lokaliti berkenaan.

Penugasan ini diketuai oleh Mejar Muhammad Annaz Md Salleh yang bertanggungjawab mengatur gerak anggota melaksanakan pemasangan concertina wire dan membuat kawalan serta pemerhatian ke atas kawasan yang menempatkan 12 blok seluas 1,000 meter persegi.

Ketika tinjauan kru Air Times malam tadi, beberapa bongkah konkrit telah diletakkan di laluan utama yang dikawal oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menyekat laluan keluar masuk di kawasan perumahan tersebut.

Pemasangan kawat duri ini telah siap kira-kira jam 12 tengah malam tadi.

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan pelaksanaan PKPD di Perumahan Awam Desa Rejang ekoran peningkatan kes yang dikesan secara mendadak di kawasan tersebut.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan peningkatan kes yang amat ketara dalam masa yang singkat apabila sebanyak 264 kes positif COVID-19 direkodkan hasil daripada 3,512 saringan dengan kadar positiviti 7.52 peratus.

Menurutnya, pelaksanaan PKPD ini akan memudahkan tindakan kawalan COVID-19 dijalankan dengan cepat dan berkesan, sekaligus mengekang penularan wabak berkenaan dalam kawasan terlibat serta ke komuniti luar.-airtimes.my

Galeri gambar:

Related Articles

Leave a Reply