Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Radar SWASLA, Gempita kesan 30 PATI Indonesia ceroboh perairan negara

Radar SWASLA, Gempita kesan 30 PATI Indonesia ceroboh perairan negara

by Air Times News Network

PENGERANG, 18 Jun – Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) yang digunakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mengesan kemasukan 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia di pesisir Pantai Kampung Punggai, awal pagi tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan berkata, sistem SWASLA yang berfungsi sebagai sistem rangkaian radar 24 jam telah mengesan pergerakan bot yang mencurigakan menghampiri pesisir pantai tersebut pada jam 3.00 pagi.

Maklumat tersebut turut disahkan oleh Sistem Pengawasan Radar Kenderaan Perisai AV8 Gempita serta anggota yang bertugas di Pos Pemerhati.

“Pasukan telah bertindak dengan mengaturgerak Tim Quick Reaction Force (QRF) ke lokasi tersebut,

“Hasil serbuan yang dilakukan sekitar jam 3.45 pagi telah berjaya menahan 30 PATI yang cuba untuk memasuki negara ini melalui jalan yang tidak sah,

“Kesemua mereka adalah lelaki berusia sekitar 21 hingga 46 tahun merupakan warga Indonesia. Walau bagaimanapun bot yang digunakan telah berpatah balik dan tidak berjaya dirampas,” jelas kenyataan itu.

Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Sungai Rengit. -Foto: 3 Div

Pihak 3 Div menjelaskan, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM 12,203.32 melibatkan wang tunai Ringgit Malaysia, matawang Indonesia serta 20 buah telefon bimbit pelbagai jenama.

“Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Sungai Rengit sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Setia Tropika, Kempas,

“Manakala laporan Polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai,” tambahnya.

Menurut kenyataan itu, aturgerak Tim QRF diteruskan bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply