Home Pertahanan dan Keselamatan Imigresen serbu 16 kedai runcit, 33 PATI diberkas

Imigresen serbu 16 kedai runcit, 33 PATI diberkas

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menahan seramai 33 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi yang dilaksanakan sekitar Bukit Sentosa dan Dengkil, Selangor pada 14 serta 15 Jun lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata kesemua PATI tersebut ditahan di 16 premis secara berasingan membabitkan 14 pengawai dari anggota Unit QRT Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan, Imigresen Putrajaya.

Menurutnya, kesemua PATI yang ditahan terdiri daripada 18 orang lelaki warganegara Bangladesh, 7 lelaki warganegara Myanmar, 3 lelaki Indonesia, 2 perempuan Indonesia, 2 lelaki warganegara Pakistan dan 1 lelaki India.

“Pemeriksaan awal mendapati kesemua PATI disyaki melakukan kesalahan menyalahgunakan pas atau permit dan juga tidak memiliki pas yang sah untuk bekerja di premis tersebut,

“Pemeriksaan mendapati kesemua premis mempunyai lesen perniagaan yang dimiliki dan didaftarkan atas nama warganegara Malaysia namun disyaki disewakan kepada warganegara asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, penyalahgunaan pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Seramai 6 orang warganegara tempatan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan,” jelasnya.

Tambahnya, ketika serbuan dijalankan, terdapat warga asing yang cuba melarikan diri dan membuat provokasi, walau bagaimanapun, kesemua warga asing ini berjaya ditahan serta situasi dapat dikawal.

“Kesemua PATI yang ditahan selepas serbuan dibawa ke Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya untuk menjalankan ujian saringan COVID-19 terlebih dahulu sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Khairul Dzaimee berkata Imigresen sentiasa prihatin dengan aduan dan maklumat orang ramai.

“Justeru itu, orang ramai digesa supaya menyalurkan maklumat tentang aktiviti PATI atau pun mana-mana premis yang disyaki dijalankan oleh warga asing secara tidak teratur,” ujarnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply