Home Semasa Total lockdown disambung 2 minggu lagi – Ismail Sabri

Total lockdown disambung 2 minggu lagi – Ismail Sabri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Kerajaan hari ini mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 atau total lockdown di seluruh negara yang bermula 1 Jun lalu dilanjutkan untuk tempoh 2 minggu lagi berkuatkuasa 15 sehingga 28 Jun depan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan ini diputuskan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Beliau menjelaskan, keputusan tersebut dilaksanakan setelah mengambil kira jumlah kes harian COVID-19 yang masih tinggi melebihi 5,000 sehari dan purata kes baharu sehingga semalam ialah 6,871 kes.

“Senarai positif dan negatif dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi setiap aktiviti perkilangan, perniagaan dan industri masih kekal seperti mana diumumkan sebelum ini,

“Mengenai senarai tersebut, boleh dirujuk kepada laman sesawang kementerian berkaitan dan maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my,” katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada Jumaat.

Ismail Sabri berharap tiada lagi kekeliruan dalam pelaksanaan penguatkuasaan SOP memandangkan semua senarai positif atau negatif adalah sama seperti sebelum ini.

“Saya tidak mahu rakyat terkesan dan salah tafsiran berhubung SOP di lapangan oleh penguat kuasa,” tambahnya.

Pada 29 Mei lalu, klerajaan memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun total lockdown fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun 2021. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply