Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Faktor kepimpinan antara cabaran utama Tentera Darat Malaysia

Faktor kepimpinan antara cabaran utama Tentera Darat Malaysia

by Kamarul Ali

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam rangka menyusun dan memperkemas segala strategi untuk menghadapi cabaran kepada pencapaian sasaran yang ditetapkan untuk mengorak langkah sebagai sebuah angkatan yang moden, kredibel dan sentiasa bersedia melaksanakan misi dalam Angkatan Tentera Malaysia (TDM).

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, antara faktor utama yang menjadi cabaran TDM adalah berkaitan kekangan kawangan yang perlu ditangani dengan bijaksana.

Menurutnya, keperluan kewangan adalah mustahak untuk perolehan aset baru dan penggantian aset yang usang serta menyelenggara aset sedia ada.

“Aspek perolehan dan senggaraan perlu dijadikan keutamaan dan penjajaran semula berpandukan aset-aset sedia ada,

“Peruntukan kewangan juga merupakan keperluan penting di dalam meningkatkan aspek kesejahteraan dan kualiti hidup warga TDM agar mereka sentiasa berada di dalam persekitaran yang selesa,

“Kaedah-kaedah baru perlu diteroka bagi membolehkan aspek kesejahteraan ini ditangani dengan lebih berkesan,” katanya dalam Perutusan Sempena Setahun Pemerintahan yang disiarkan menerusi hantaran di Facebook rasmi Tentera Darat, hari ini.

Beliau turut berkata, faktor pandemik akan terus menjadi penentu utama keberkesanan pelaksanaan aktiviti-aktiviti di dalam TDM pada masa kini.

Namun, apabila menyedari bahawa tiada tempoh masa berkaitan pandemik COVID-19 yang melanda dunia, TDM perlu lebih memfokuskan untuk mempertingkat keupayaan operasi bagi membantu kerajaan melandaikan lengkuk jangkitan seterusnya membebaskan negara dari wabak yang membawa maut ini.

Zamrose menambah, faktor kelemahan kepimpinan di dalam organisasi TDM juga boleh merencatkan pencapaian sasaran yang ditetapkan terutamanya di dalam aspek pemantauan dan tadbir urus.

“Kelemahan pemantauan di setiap peringkat pemerintahan akan menyebabkan pegawai dan anggota bersikap sambil lewa di dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan,

“Pengurusan audit yang dilaksanakan oleh bahagian Inspektorat TDM menunjukkan masih wujud kelemahan dari segi pemantauan, ketidakcekapan dan kurangnya integriti di dalam pengurusan di pasukan,” tegasnya.

Sehubungan itu, Zamrose telah menetapkan 3 fokus utama yang perlu dilaksanakan bagi mencapai sasaran untuk mengekalkan kredebiliti TDM seiring keadaan semasa.

“Antara fokus yang perlu diutamakan ialah TDM akan melaksanakan penilaian semula ke atas pencapaian lalu dan laksanakan penambahbaikan secara sistematik dengan mengambil kira keadaan semasa serta keperluan masa hadapan,

“Sebagai mendokong pelaksanaan penambahbaikan secara berterusan ini, buku panduan kumpulan inovatif dan kreatif (KIK) baharu telah diterbitkan serta dilancarkan pada hari ini,” ujarnya.

Selain itu, setiap pelan tindakan yang dirancang perlu disusuli dengan komitmen jitu dari pelbagai peringkat. Oleh itu, setiap lapisan warga TDM perlu diberi kefahaman yang jelas mengenai keperluan teras utama dalam Perintah Ulung PTD.

Zamrose menambah, TDM perlu melaksanakan proses normalisasi melalui pendekatan dan norma baharu bagi berhadapan dengan pandemik COVID-19.

“Di dalam situasi yang mencabar, setiap perkara perlu disesuaikan dengan pendekatan serta kaedah baru yang lebih inovatif,

“Alasan pandemik COVID-19 tidak boleh selamanya digunakan untuk tidak mencapai apa yang direncanakan,

“TDM perlu terus bergerak sebagai sebuah ketumbukan yang diyakini dan diiktiraf oleh kerajaan dan rakyat,” tegasnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply