Home PolitikPakatan Harapan Pakatan Harapan tolak MAGERAN

Pakatan Harapan tolak MAGERAN

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Pakatan Harapan (PH) menolak cadangan penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang diusulkan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi negara waktu ini terutamanya berkaitan COVID-19.

Sebaliknya, Majlis Presiden PH dalam kenyataan sekali lagi menegaskan agar pelaksanaan Proklamasi Darurat yang diisytiharkan perlu ditamatkan segera dan Parlimen dibuka semula untuk bersidang.

“Sebagai parti yang menjunjung prinsip demokrasi berparlimen, PH menolak cadangan MAGERAN ini berdasarkan pendirian konsisten kami bahawa darurat perlu ditamatkan segera dan Parlimen perlu dibuka semula sekarang,

“Penyelesaian kepada masalah rakyat dalam isu COVID-19, ekonomi, malah juga politik memerlukan demokrasi yang berfungsi dengan baik, dan ruang terbaik untuk mendengar suara rakyat serta mencari penyelesaian ialah di Parlimen,” kata Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanaha) Mohamad Sabu.

Semalam, Tun Dr Mahathir mendedahkan telah membawa usul penubuhan satu pasukan khas seperti yang pernah diguna pakai pada 1969 iaitu MAGERAN ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah dalam sesi sembah menghadap Baginda.

Beliau berkata, penubuhan badan seperti yang pernah memimpin negara lakukan pada tahun 1969 hingga 1971 susulan tragedi 13 Mei mampu mengawal pandemik yang melanda negara. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply