Home Semasa Darurat digunakan untuk kepentingan lain – Zahid Hamidi

Darurat digunakan untuk kepentingan lain – Zahid Hamidi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) tidak perlu ditubuhkan sebagai satu langkah bagi menyelesaikan krisis pandemik COVID-19 didalam negara.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan, pengisytiharan Proklamasi Darurat sehingga Ogos 2021 sudah memadai bagi menangani segala krisis pada masa ini namun telah digunakan untuk mencapai tujuan lain.

“Kita tidak bincangkan soal penubuhan (MAGERAN) itu. Saya rasa perkara itu adalah sesuatu keadaan norma di luar daripada apa yang sedia ada,

“Ini kerana pelaksanaan darurat kita mendapati ia mencukupi dalam soal-soal ini, namun telah digunakan untuk mencapai tujuan lain,” katanya ketika ditemui di Istana Negara, hari ini.

Ahmad Zahid antara pemimpin parti politik yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk sesi menghadap bagi hari ketiga ke Istana Negara.

Selain itu, beliau berkata, antara perbincangan lain yang dipersembahkan hari ini adalah pendirian UMNO terhadap pelaksanaan Proklamasi Darurat yang perlu dihentikan kerana ia mendatangkan kemudaratan yang lebih besar kepada negara.

“Tanpa darurat dahulu, kerajaan masih boleh menyelesaikan masalah terutamanya berkaitan COVID-19,” jelasnya.

Beliau menambah, UMNO turut membawa suara rakyat yang resah ketika menghadapi wabak pendemik COVID-19 sehingga menjejaskan mata pencarian mereka.

“UMNO berpendirian Parlimen wajar bersidang untuk mempertahankan sistem demokrasi serta mewujudkan elemen semak dan imbang dalam segala aspek yang berkaitan pentadbiran negara,

“Parlimen penting untuk suarakan hak rakyat seperti tuntutan moratorium dan pelbagai bantuan lain melibatkan semua golongan,” jelasnya.

Semalam, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan agar kerajaan menubuhkan MAGERAN kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan bagi menangani masalah utama ketika wabak COVID-19 pada masa ini.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu turut menyenaraikan 4 krisis yang dihadapi negara ketika ini iaitu kesihatan, ekonomi, kewangan dan politik yang diyakini mampu diatasi dengan penubuhan MAGERAN.

Namun, menurut Tun Mahathir, Baginda tidak menolak cadangan tersebut tetapi menitahkan adalah lebih baik sekiranya cadangan penubuhan MAGERAN datang dari pihak kerajaan sendiri iaitu Perikatan Nasional (PN).-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply