Home Semasa Penjawat awam sumbang elaun RM30 juta kepada Tabung Amanah Bencana

Penjawat awam sumbang elaun RM30 juta kepada Tabung Amanah Bencana

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Seramai 800,000 orang penjawat awam akan menyumbangkan kira-kira RM30 juta elaun tetap yang dinikmati kepada Tabung Amanah Bantuan Bencana Nasional bagi membantu kerajaan memerangi penularan wabak pandemik COVID-19 di dalam negara.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan berkata, sumbangan tersebut sebagai manifestasi solidariti penjawat awam dan tanda kebersamaan dalam usaha kerajaan memerangi pandemik COVID-19.

“Sebagai manifestasi solidariti penjawat awam dalam membantu kerajaan dalam memerangi penularan wabak COVID-19 di dalam negara, sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) bagi pengurusan tertinggi dan Gred 44 hingga Gred 56, serta Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga Gred 41 yang dinikmati oleh penjawat awam pada masa kini akan disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana,

“Sumbangan dari lebih 800,000 penjawat awam (tidak termasuk frontliners serta penjawat awam Gred 1 hingga Gred 28) adalah dianggarkan berjumlah lebih RM30 juta,” jelasnya.

Menurut Zuki, penjawat awam sentiasa menjadi tulang belakang kerajaan dalam usaha mengimbangi nyawa dan kehidupan.

“Sumbangan ini adalah tanda kebersamaan penjawat awam dalam menyokong usaha kerajaan bagi memerangi dan melandaikan keluk jangkitan pandemik COVID-19 di negara,

“Semoga pengorbanan ini menjadi asbab kebaikan dalam kehidupan bagi setiap anggota Perkhidmatan Awam dan ahli keluarga,”ujarnya.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan sebanyak RM40 bilion diperuntukkan bagi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan sebagai tambahan kepada program-program pakej bantuan sejak tahun lalu.

Pelbagai inisiatif diumumkan bagi mengukuhkan sistem kesihatan negara selain menyediakan bantuan tambahan kepada rakyat dan perniagaan yang terjejas. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply