Home Pertahanan dan Keselamatan APMM patahkan seludup keluar dadah bernilai RM3.33 juta di Pulau Ketam

APMM patahkan seludup keluar dadah bernilai RM3.33 juta di Pulau Ketam

by Nurulhuda

PELABUHAN KLANG, 1 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Malaysia (APMM) Selangor berjaya menumpaskan cubaan menyeludup keluar dadah 31 kilogram dadah jenis syabu dan ekstasi dianggarkan bernilai RM3.33 juta di perairan Pulau Ketam, semalam.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi APMM, Laksamana Madya Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, pihaknya turut menahan 2 warga tempatan iaitu seorang lelaki Orang Asli berusia 70 tahun dan anak perempuannya berumur 40 tahun serta seorang lelaki warga Indonesia berusia 24 tahun.

Bagaimanapun, Kamaruszaman memaklumkan, suspek warga emas telah tercedera dan disahkan meninggal dunia setiba di jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah Klang, susulan kecederaan yang dialaminya.

Beliau berkata, penangkapan ketiga-tiga suspek itu dijalankan susulan rondaan Operasi Belangkas di perairan Selangor dan pihaknya telah menahan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran di kedudukan 3.4 batu nautika dari barat daya Sungai Kapar Kecil.

“Sebaik menyedari kehadiran aset APMM, bot suspek cuba melarikan diri dan bertindak agresif. Setelah beberapa minit dikejar buru, bot suspek telah melakukan pergerakan merbahaya dengan bertindak untuk merempuh bot Maritim,

“Berikutan itu, anggota bot APMM telah melepaskan beberapa das tembakan amaran namun tidak diendahkan.

“Bot suspek nekad untuk merempuh bot APMM dan atas faktor mempertahankan diri beberapa das tembakan lagi telah dilepaskan ke arah bot suspek, seterusnya berlaku perlanggaran yang mengakibatkan bot suspek tenggelam di lokasi tersebut,”jelasnya dalam hantaran di media sosial milik APMM, malam tadi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, terhadap bot tersebut menemukan 4 guni dipercayai berisi dadah jenis syabu seberat 31 kilogram (kg) dan pil ekstasi sebanyak 25 kg (63,000 biji).

“Suspek dan hasil rampasan yang dianggarkan bernilai RM3.33 juta itu dibawa ke Jeti APMM Selangor untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut,

“Kes disiasat di bawah Akta Dadah Merbahaya 1952 jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup,” tambahnya.

Kamaruszaman berkata, pihaknya memandang serius terhadap operasi penguatkuasaan di laut dan akan mengambil tindakan tegas kepada setiap penjenayah yang melakukan aktiviti jenayah di sepanjang Zon Maritim Malaysia. -airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply