Home Semasa PKPD di beberapa lokaliti di Perak, KL, Pahang dan Sabah bermula Jumaat ini

PKPD di beberapa lokaliti di Perak, KL, Pahang dan Sabah bermula Jumaat ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Kerajaan hari ini memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Parit Buntar,Perak berkuatkuasa 28 Mei sehingga 10 Jun 2021.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat 82 kes positif COVID-19 direkodkan hasil daripada 623 ujian saringan yang telah dilakukan.

“KKM juga mendapati Mukim Parit Buntar telah mencatatkan 44 peratus daripada jumlah keseluruhan kes semasa di daerah Kerian bagi tempoh 10 Mei sehingga 23 Mei 2021,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Beliau turut mengumumkan Pangsapuri Permai dan Pangsapuri Sri Penara (Blok C dan D) di Cheras, Kuala Lumpur dikenakan PKPD dalam tempoh yang sama.

“Turut dikenakan PKPD ialah Taman Dato’ Tengku Paris dan Felda Tersang (1,2 dan 3) Mukim Batu Talam, Raub Pahang selepas KKM mengesan penularan kes di semua lokaliti tersebut dengan kadar kebolehjangkitan sangat tinggi,

“2 mukim dalam daerah Termeloh iaitu Mukim Perak dan Mukim Bangau turut dikenakan PKPD bermula dari 28 Mei hingga 10 Jun depan,” ujarnya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, kerjaaan bersetuju melaksanakan PKPD di 4 perkampungan dalam daerah Kunak, Sabah ekoran penularan wabak berkenaan di dalam komuniti dengan kebolehjangkitan yang tinggi.

“4 perkampungan tersebut adalah, Kampung Kabog, Kampung Kabog Baru, Kampung Kunak Darat dan Kampung Kunak 3,” jelasnya.

Ismail Sabri berkata, Kampung Pirasan Ulu, Kota Belud dan 3 lokaliti dalam daerah Tawau turut dikenakan PKPD ekoran pengesanan peningkatan kes dalam tempoh seminggu.

“3 lokaliti tersebut adalah Kampung Sungai Pukul, Pulau Sebatik; Taman Desa Ranggu dan Taman Sawit Balung,

“Pelaksanaan PKPD ini adalah untuk menghalang pergerakan serta mengelak jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut,” tegasnya.

Tambahnya, prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD tersebut adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini.

“Maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my,” ujarnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply