Home Semasa PKP diseluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun ini

PKP diseluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun ini

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula 12 Mei sehingga 7 Jun 2021.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan COVID-19, hari ini.

“Berdasarkan trend kes-kes harian COVID-19 yang semakin meningkat, kerajaan telah memutuskan untuk mengambil langkah-langkah yang lebih tegas dan ketat bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dalam masyarakat dan menghalang kenaikan kes secara mendadak,

“Dengan jumlah kes harian melebihi 4,000 kes dan 37,396 kes aktif dengan 1,700 kes kematian dilaporkan setakat 10 Mei lalu, Malaysia sedang berhadapan dengan gelombang ketiga COVID-19 yang boleh mencetuskan suatu krisis nasional,” katanya.

Beliau berkata, kewujudan varian baharu dengan kadar jangkitan yang lebih tinggi, kekangan ke atas kapistiti sistem kesihatan awam yang semakin meruncing dan kelemahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan sebahagian anggota masyarakat menuntut kerajaan untuk mengambil tindakan yang lebih drastik bagi mengelakkan negara terjerumus ke dalam malapetaka kesihatan yang lebih parah.

“Data dan sains terus menunjukkan bahawa aktiviti-aktiviti perhimpunan yang menyukarkan penjarakan sosial dan keberadaan orang ramai dalam ruang yang sesak menjadi punca utama penularan COVID-19,

“Rantaian jangkitan COVID-19 hanya dapat diputuskan dengan menggalakkan orang ramai duduk di rumah menerusi kawalan pergerakan yang lebih ketat,” jelasnya.

Namun, sepanjang tempoh ini, semua sektor ekonomi dibenarkan untuk beroperasi.

Sementara itu, tarikh kuat kuasa larangan rentas daerah dan negeri serta larangan aktiviti sosial, sukan dan pendidikan adalah bermula pada 10 Mei hingga 6 Jun 2021 seperti yang diumumkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Mei lalu. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply