Home Semasa 8 individu terlibat iklan judi raya ditahan, dalang masih diburu

8 individu terlibat iklan judi raya ditahan, dalang masih diburu

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Apr – Seramai 5 lelaki dan 3 wanita ditahan kerana disyaki terlibat sebagai pelakon, ejen artis, juru kamera serta pengarah video memperomosikan judi dalam talian, yang tular sejak semalam sehingga membangkitkan kemarahan orang ramai.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kesemua individu yang ditahan itu mengaku menerima bayaran bagi pembikinan video tersebut yang diadakan di 2 lokasi iaitu Ampang dan Hulu Langat, Selangor pada 13 Mac lepas.

Beliau berkata, usaha mengesan dalang sebenar di sebalik pembikinan video berkenaan masih diteruskan.

“Sebanyak 38 laporan polis berkaitan video ini dibuat sebelum polis menahan 3 lelaki dan 2 wanita berusia antara 24 hingga 26 tahun yang berlakon dalam iklan berkenaan,

“Kesemua mereka direman dan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” jelasnya.

Acryl Sani seterusnya menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi kerana siasatan masih dijalankan, dan mereka yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu boleh menyalurkannya kepada polis.

Tegasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam apa jua aktiviti perjudian di negara ini.

Terdahulu,  iklan berdurasi 2 minit oleh sebuah syarikat perjudian yang mengajak orang ramai menggunakan perkhidmatan syarikat itu tular di media sosial. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply