Home Semasa 40 petugas kesihatan dijangkiti COVID-19 selepas terima dos kedua vaksin

40 petugas kesihatan dijangkiti COVID-19 selepas terima dos kedua vaksin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Apr – Seramai 40 petugas kesihatan telah dijangkiti COVID-19 selepas sempurna mendapatkan dua dos suntikan vaksin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka tersebut melibatkan 9 kes dijangkiti COVID-19 selepas lebih 2 minggu menerima dos kedua vaksin.

“Selain itu, 31 kes lagi dijangkiti kurang daripada 2 minggu menerima suntikan dos kedua. Dalam masa sama, sebanyak 142 kes petugas kesihatan yang dijangkiti selepas menerima dos pertama,

“Bagaimanapun, apa yang penting kesemua mereka tidak mengalami gejala yang teruk,” katanya dalam hantaran di laman sosialnya, hari ini.

Beliau berkata, walaupun sudah menerima vaksin, semua pihak perlu meneruskan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ini kerana katanya, tiada seorang pun yang selamat selagi virus itu wujud dalam komuniti.

“Walaupun vaksin memberi pengharapan untuk berperang melawan COVID-19, kita tidak boleh melakukan kesilapan dengan melonggarkan langkah kesihatan awam selepas program vaksin dijalankan.

“Tiada seorang yang selamat sehinggalah semua orang selamat. Teruskan untuk mematuhi semua langkah kesihatan awam,” tambahnya.

Sehingga Khamis, seramai 434,301 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, bagi tempoh sama, 671,589 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 di negara kini adalah 1,105,890. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply