Home Semasa 41 individu ditahan langgar SOP semalam

41 individu ditahan langgar SOP semalam

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Seramai 41 individu ditahan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 28 telah dikenakan kompaun dan 13 direman.

Beliau berkata, antara kesalahan direkodkan membabitkan kegagalan menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan sebanyak 24 dan tidak memakai pelitup muka (7).

“Selain itu, rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran ialah 5 kes, tiada penjarakan fizikal (2) dan lain-lain sebanyak 3 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, penahanan kesemua individu itu dilakukan hasil 67,134 pemeriksaan yang dilakukan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.

“Seramai 3,866 Pasukan Pematuhan melibatkan 16,934 anggota telah membuat pemantauan di 5,571 buah restoran, pasar raya (7,122), bank (4,316), penjaja (2,953), pasar awam atau tani (2,487), kilang (2,215) dan pejabat kerajaan (1,134),

“Turut dipantau ialah tempat ibadah sebanyak 3,409, tempat riadah (1,695), terminal pengangkutan darat (1,472), terminal pengangkutan air (424) dan terminal pengangkutan udara (112),” ujarnya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, seramai 9 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dan 2 buah kenderaan darat dirampas dalam Operasi Benteng, semalam.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 96 buah bot atau kapal di perairan negara melalui 6 aktiviti penglihatan. Seramai 6 PATI turut diusir melalui 2 aktiviti pengusiran,” jelasnya.

Menerusi operasi sama, sebanyak 266 sekatan jalan raya (SJR) turut dijalankan yang melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi keselamatan lain.

“Op Penawar yang melibatkan ATM, PDRM dan RELA sebanyak 206 SJR, Op Benteng PDRM (51 SJR) dan Op Benteng AKSEM adalah 9 SJR,” katanya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply