Home Semasa Kampung Lebak Moyoh dan Kampung Siasai Tamu dikenakan PKPD bermula esok

Kampung Lebak Moyoh dan Kampung Siasai Tamu dikenakan PKPD bermula esok

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu di Kampung Lebak Moyoh dan Kampung Siasai Tamu, Kota Belud, Sabah bermula esok.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 89 ujian saringan di Kampung Lebak Moyoh dan daripada jumlah itu sebanyak 9 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

Manakala, sebanyak 77 ujian saringan telah dilaksanakan di Kampung Siasai Tamu dan 7 kes positif telah dilaporkan di lokaliti ini.

“KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di kedua-dua lokaliti dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi,

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Lebak Moyoh dan Kampung Siasai Tamu, Kota Belud, Sabah bermula 26 Mac (esok) hingga 8 April 2021,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti.

Sementara itu, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong, Nabawan, Sabah seperti yang dijadualkan esok.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 821 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 140 kes positif COVID-19 telah direkodkan,

“KKM mengesahkan kes positif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan, kluster adalah terkawal serta semua kes positif telah menerima rawatan,” ujarnya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply