Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Tentera Darat tahan 2 tekong tempatan bersama 15 PATI Indonesia

Tentera Darat tahan 2 tekong tempatan bersama 15 PATI Indonesia

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 11 Mac – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah menahan 2 tekong warga tempatan cuba menyeludup keluar 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ingin pulang ke negara asal melalui lorong tikus, pagi tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam kenyataan berkata, tangkapan tersebut dibuat di dua lokasi dalam kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) iaitu di sekitar Tanjung Balau dan Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor.

Anggota pasukan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan intipan serta mengekori beberapa suspek bagi mendapatkan maklumat tempat perlindungan sementara PATI.

“Dalam kejadian pertama, anggota Cawangan Khas PDRM telah menahan sebuah kenderaan Proton Iswara bersama 2 lelaki warga negara Indonesia yang merupakan suspek yang dikehendaki dalam kegiatan membawa PATI keluar dan masuk ke Malaysia melalui kawasan pantai di sekitar Bandar Penawar,

Anggota Tentera Darat Malaysia menahan sebuah kenderaan Produa Alza yang membawa PATI dalam Operasi Benteng. Foto: Markas 3 Divisyen

“Pada 9.50 malam pula, sebuah kenderaan jenis Produa Alza yang membawa beberapa orang PATI telah memasuki kawasan tersebut dan telah menghentikan kenderaan pada jarak 200 meter,

“Sejurus kemudian, anggota Tinjau telah mengejar dan berjaya menahan 2 orang PATI yang melarikan diri dari kenderaan tersebut,” katanya.

Kemudian, anggota PDRM telah melaksanakan serbuan ke atas 2 buah rumah di kawasan berkenaan yang dipercayai menjadi tempat perlindungan PATI dan menahan 4 PATI yang sedang bersembunyi di rumah berkenaan.

Manakala, pada jam 11.30 pagi, Tim Quick Reaction Force (QRF) telah berjaya menahan 9 lagi PATI yang bersembunyi di kawasan belukar berhampiran lokasi tangkapan pertama.

Jumlah keseluruhan PATI yang ditahan adalah 15 orang terdiri daripada 14 lelaki dan seorang perempuan berusia sekitar 20 hingga 60 tahun bersama dengan 2 orang lelaki warga tempatan dipercayai sebagai tekong yang menguruskan PATI keluar dari negara ini secara tidak sah.

“Antara yang dirampas adalah 2 buah kereta, wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit yang dianggarkan bernilai RM 69,923.16,

“Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia,” jelasnya.

Selain itu, pihaknya berkata, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

Pihaknya menambah, operasi mengesan saki baki PATI masih diteruskan di kawasan sekitar serbuan dilakukan. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply