Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat 99 Rejimen Semboyan Peperangan Siber perkasa siap sedia hadapi ancaman siber

99 Rejimen Semboyan Peperangan Siber perkasa siap sedia hadapi ancaman siber

by Air Times News Network

SUNGAI BESI, 2 Mac – Tentera Darat Malaysia (TDM) memperkasakan keupayaan dan kesiagaan bagi menghadapi cabaran serta ancaman siber dari pelbagai domain dengan melancarkan pasukan 99 Rejimen Semboyan Peperangan Siber (99 RSPS), hari ini.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain telah menyempurnakan majlis pelancaran 99 RSPS di Kem Perdana Sungai Besi.

99 RSPS mempunyai misi untuk menguasai domain siber bagi mencapai objektif Peperangan Informasi TDM yang merangkumi operasi di dua wilayah, sama ada di dalam masa aman, konflik atau peperangan.

“Domain siber merupakan salah satu Dimensi Peperangan pada masa kini dan ianya suatu realiti,

“Era tranformasi digital mengubah lanskap peperangan dan mengadaptasi keupayaan kinetik dan bukan kinetik sebagai langkah penting dalam permodenan sistem pertahanan sesebuah negara,” kata TDM dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, TDM akan terus berusaha untuk memperkukuhkan, mempertahankan dan mengintegerasikan sistem Command Control, Communication, Computer, Intelligence, Reconnaissance and Targentting (C4ISRT).

“TDM perlu tangkas berubah dan mengelak daripada terdedah kepada eksploitasi dalam ruang siber yang boleh melumpuhkan keupayaan infrastruktur dan infostrukturnya,” ujarnya.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman dan Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Terdahulu, Zamrose telah merasmikan Program Derma Darah Perdana di Dewan bersempena dengan Hari Tentera Darat ke-88 di Dewan Dato’ Jamil Ahmad, Kem Perdana Sungai Besi.

Beliau turut merasmikan Projek ‘Smart Pole’ yang merupakan kerjasama TDM bersama syarikat Platinum Core Solution Sdn Bhd dan syarikat Kenari Maluri Group Sdn Bhd sebagai perintis menyediakan kemudahan capaian internet (wifi), televisyen litar tertutup (CCTV) dan pencahayaan lampu limpah di kompleks Kem Perdana Sungai Besi.

Selain itu, beliau turut merasmikan Kompleks 73 Skuadron Semboyan GAPU (73 SS GAPU) yang baharu di dalam Kem Perdana Sungai Besi berhampiran dengan Markas GAPU.

“Projek pembinaan secara ‘One to One Basis’ ini melibatkan 10 buah bangunan bernilai RM14.7 juta ini turut dilengkapi kemudahan fasiliti bagi memberikan kemudahan kepada warga 73 SS GAPU,” jelas kenyataan itu. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply